Panduan & Niat Solat Jumaat Lengkap
Panduan Solat Jumaat Lengkap
Solat Jumaat adalah merupakan salah satu kewajiban bagi umat Muslim lelaki.
Ia adalah merupakan solat fardu 2 rakaat pada hari Jumaat bagi menggantikan solat zuhur yang diiringi dengan khutbah Jumaat.
Solat Jumaat
Bagi Mazhab Shafie, hukum menunaikannya adalah Fardu Ain, iaitu wajib ke atas setiap mukallaf lelaki yang sudah baligh dengan syarat-syarat tertentu.
Solat ini wajib ditunaikan secara berjemaah di masjid dengan sekurang-kurangnya 40 orang jemaah yang tinggal tetap di kawasan tersebut.
“Wahai orang-orang yang beriman (Lelaki dan perempuan). Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya],” – (Surah Al-Jumu’ah: 9)
“Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia (Gugur jemaah, tapi wajib jumaat): hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit.” – (Hadis Riwayat Abu Dawud & Hakim).
BACA JUGA: Johor Mungkin Cuti Sabtu-Ahad, Jumaat Kerja Separuh Hari
Syarat Wajib
Solat ini diwajibkan ke atas setiap individu lelaki yang telah mencapai syarat-syarat berikut:
- Islam
- Baligh
- Merdeka
- Berakal
- Lelaki
- Sihat
- Bermukim
Syarat Sah
- Didirikan di dalam waktu Zuhur.
- Tempat mendirikan solat itu hendaklah di suatu tempat yang telah ditetapkan seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
- Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal tetap di kawasan itu (menurut Mazhab Syafie).
- Didahului dengan dua khutbah khusus.
- Niat untuk bersolat jumaat.
BACA JUGA: Niat & Cara Solat Jamak Qasar
Lafaz Niat Solat Jumaat
Lafaz niat Solat Fardu Jumaat untuk makmum ialah:
Sumber: akuislam.com
Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Jumaat dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.
Cara Mengerjakan Solat Jumaat
Cara menunaikan solat Jumaat adalah sama seperti solat-solat dua rakaat yang lain daripada segi pergerakan. Walaubagaimanapun, ia haruslah dikerjakan secara berjemaah, mengikut imam.
Berikut merupakan tatacara melakukan solat Jumaat:
- Berdiri dengan betul, tegak, dan menghadap kiblat
- Membaca niat
- Takbiratul ihram dan mengangkat kedua-dua belah tangan sambil menyebut
- Membaca Al-Fatihah
- Membaca mana-mana surah pilihan dalam Al-Quran mengikut kemahuan
- Rukuk sambil bertakbir
- I’tidal
- Sujud
- Duduk antara 2 sujud
- Sujud
- Berdiri semula sambil bertakbir intiqalat untuk memulakan rakaat kedua. Ulangi dengan membaca surah Al-Fatihah sehingga habis dan sujud di rakaat kedua
- Duduk tahiyat akhir
- Memberikan salam
Hikmah disyariatkan
- Melatih diri menjadi hamba yang taat kepada perintah Allah SWT
- Merapatkan ukhuwah, dan memupuk perasaan kasih sayang
- Mendengar nasihat, teguran, bimbingan, dan pedoman daripada khutbah
- Mendapatkan pahala, dan ganjaran yang besar
- Melatih diri melakukan perkara yang baik secara berjemaah
- Lambang perpaduan, dan kekuatan umat Islam
Musafir Pada Hari Jumaat
Adakah wajib sembahyang jumaat bagi orang bermusafir pada hari Jumaat?
Menurut pendapat yang muktamad di dalam Mazhab al-Syafi’e, sekiranya permusafiran pada hari Jumaat dilakukan sebelum fajar, maka gugur ke atasnya untuk melakukan solat Jumaat.
Perkara Yang Disunatkan Pada Hari Jumaat
Berikut adalah perkara-perkara yang disunatkan pada hari Jumaat:
- Mandi sebelum pergi ke masjid, sebaik-baiknya ketika hendak berangkat ke masjid.
- Memakai pakaian yang bersih, elok dan kemas, seeloknya berwarna putih.
- Memakai bau-bauan.
- Memendekkan kuku, merapikan misal, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari dan bersugi.
- Bersegera ke masjid dengan tujuan mendapatkan saf hadapan.
- Perbanyakkan zikir, istigfar, doa dan terutama sekali selawat. Rasulullah SAW menyatakan, pada hari jumaat ada satu waktu mustajab yang diperkenankan doa orang yang berdoa pada waktu itu.
- Memberi perhatian pada khutbah yang disampaikan oleh khatib. Makruh menggunakan telefon bimbit atau benda-benda lain termasuk tasbih ketika khatib sedang berkhutbah.