Niat & Cara Solat Jamak Qasar
Solat Jamak Qasar
Solat Jamak Qasar adalah merupakan rukhsah (kemudahan) dan kelonggaran yang diberikan kepada hamba Allah yang bermusafir lebih daripada 2 marhalah.
Kemudahan disini bermaksud kelonggaran kepada orang yang bermusafir lebih daripada dua marhalah (92km) yang berkemungkinan mengalami masalah untuk singgah mendirikan solat berkali-kali.
Secara ringkasnya, kita boleh menjamakkan dua solat serta mengqasarkannya sekali gus.
Maksud Jamak:
Jamak bermaksud menghimpunkan.
Dari segi bahasa, jamak adalah perkataan Arab yang bermaksud menghimpunkan atau mengumpulkan sesuatu yang berselerak, atau mengarang kitab atau menyusun huruf.
Dalam hal solat, ia bermaksud menghimpunkan dua waktu solat fardu dengan melakukannya dalam satu waktu.
Sebelum melakukan jamak, ada beberapa syarat yang harus kita patuhi.
Syarat Solat Jamak Takdim:
- Hendaklah dimulai solat pada waktunya yang terdahulu ertinya lakukan zuhur daripada asar dan maghrib daripada isyak
- Niat jamak pada solat yang pertama pada permulaan takbiratul ihram atau di tengah-tengah solat selama mana ia belum memberi salam.
- Berturut-turut antara solat yang pertama dan kedua. Oleh itu, antara kedua-kedua tidak boleh diselangi oleh pekerjaan atau perbuatan lain. Sekiranya diselangi pekerjaan lain yang memakan masa selama dua rakaat solat, maka hendaklah solat pada waktunya nanti. Sekiranya diselangi iqamat dan mengambil wuduk maka jamaknya tidak batal
- Berkekalan musafirnya sehingga takbir solat yang kedua, tetapi tidaklah disyaratkan sehingga selesai solat.
Syarat Solat Jamak Takhir:
- Berniat untuk menakhirkan solat yang pertama pada waktu kedua ketika masuk waktu solat pertama.
- Berkekalan musafirnya sehingga selesai kedua-dua solat.
Maksud Qasar:
Qasar pula bermaksud memendekkan solat.
Contohnya daripada empat rakaat dipendekkan menjadi dua rakaat. Solat yang boleh dipendekkan menjadi dua rakaat ialah Solat Isyak, Zohor dan Asar.
Solat Qasar juga boleh digabungkan dengan Jamak, iaitu dengan memendekkan jumlah rakaat serta menghimpun solat-solat tersebut.
Syarat-syarat solat qasar adalah:
- Musafirnya hendaklah tidak bertujuan maksiat.
- Perjalanannya hendaklah tidak kurang daripada dua marhalah
- Solat yang diqasarkan itu hendaklah solat zuhur, asar dan isyak sahaja yang dilaksanakan secara tunai. Sebab itu tidak dibolehkan qasar solat qada dalam musafir bagi solat yang ditinggalkan semasa dalam kawasan tempat kediaman. Solat yang ditinggalkan dalam musafir boleh diqasarkan apabila diqadakan dalam musafir.
- Hendaklah diniatkan qasar dalam takbiratul ihram. Contoh lafaz niat bagi solat zohor: Sahaja aku solat fardu zohor dua rakaat qasar tunai kerana Allah Taala
- Tidak boleh berimam dengan orang yang bersolat tamam (sempurna).
- Hendaklah tempat yang dituju itu ditentukan. Jika sekiranya tempat yang dituju itu tidak tentu, maka tidak boleh qasar.
- Berkekalan perjalanan sehingga sempurna solat.
- Dia tahu bahawa orang musafir itu harus mengerjakan solat qasar
Niat & Cara Solat Jamak
Niat Solat Jamak Zohor dan Asar (JAMAK TAKDIM)
Cara solat Jamak Takdim Zohor dan Asar adalah seperti berikut:
1.Setelah masuk waktu zohor dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berwuduk dan bersedialah untuk solat.
2.Lafaz niat solat jamak taqdim bagi solat Zohor adalah seperti berikut:
Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Zohor, qasar dua rakaat jamak takdim kerana Allah Taala.
3. Sewaktu takbiratul ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
4.Kerjakanlah solat fardu zohor tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
5.Selesai sahaja salam, segera bangun berdiri untuk solat fardu Asar tanpa membaca wirid, doa atau solat sunat.
6.Jangan pisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut (muwalat)
7.Lafaz niat untuk solat jamak fardu Asar:
Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Asar, qasar dua rakaat jamak takdim kerana Allah Taala.
8.Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
9.Kerjakan solat fardhu Asar tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
10.Dengan demikian, kita tidak perlu lagimengerjakan solat fardu Asar di waktu Asar nanti.
Niat Solat Jamak Asar Dan Zohor (JAMAK TAKHIR)
Cara solat Jamak Takhir Zohor dan Asar adalah seperti berikut:
1.Setelah masuk waktu zohor dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berniatlah kita untuk mengerjakan solat fardu Zohor di waktu Asar nanti.
2.Niatnya lebih kurang begini, “Sahaja aku akan mengerjakan solat fardu Zohor jamak takhir di waktu Asar nanti”.
3.Niat ini adalah syarat untuk jamak takhir. Jika tidak diniatkan dalam waktu Zohor, jamak tersebut tidak sah.
4.Maksudnya, jika terlupa niat, kita tidak boleh buat jamak takhir tetapi mesti qada solat Zohor dahulu.
5.Apabila masuk waktu Asar, bersedialah untuk solat. Mulakan dengan solat fardu Asar dahulu.
6.Dalam keadaan berdiri dan menghadap kiblat, ucapkanlah lafaz niatnya:
Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Asar, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.
7. Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
8.Kerjakanlah solat fardu Asar tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah Al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
9.Selesai sahaja salam, teruslah bangun berdiri untuk solat fardu Zohor tanpa membaca wirid, doa, atau solat sunat.
10.Jangan dipisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut.
11.Lafaz niat untuk solat fardhu zohor:
Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Zohor, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.
12.Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
13.Kerjakanlah solat fardu Zohor tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah Al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
Niat Solat Jamak Maghrib dan Isyak (JAMAK TAKDIM)
Cara solat Jamak Takdim Maghrib dan Isyak adalah seperti berikut:
1.Setelah masuk waktu maghrib dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berwudhu dan bersedialah untuk solat.
2.Dalam keadaan berdiri dan menghadap kiblat, ucapkanlah lafaz niatnya (lafaz niat tidak wajib, yang wajib adalah niat semasa takbiratul ihram). Niat Solat Jamak Takdim Maghrib:
Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Maghrib, tiga rakaat jamak takdim kerana Allah Taala.
3.Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
4.Kerjakan solat fardu Maghrib tersebut sebanyak tiga rakaat (tiada qasar untuk maghrib) dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
5.Selesai sahaja salam, teruslah bangun berdiri untuk solat fardhu Isyak tanpa membaca wirid, doa atau solat sunat. Terus bangun untuk solat kedua selepas memberi salam
6.Jangan dipisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut.
7.Lafaz niat untuk solat fardu Isyak:
Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Isyak, qasar dua rakaat jamak takdim kerana Allah Taala.
8.Sewaktu takbiratul ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
9.Kerjakanlah solat fardu Isyak tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
10.Dengan demikian, kita tidak perlu mengerjakan solat fardu Isyak di waktu Isyak nanti.
Niat Solat Jamak Isyak Dan Maghrib (JAMAK TAKHIR)
Cara solat Jamak Takhir Maghrib dan Isyak adalah seperti berikut:
1.Setelah masuk waktu Maghrib dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berniatlah kita untuk mengerjakan solat fardu Maghrib di waktu Isyak nanti.
2.Niatnya lebih kurang begini, “Sahaja aku akan mengerjakan solat fardu Maghrib jamak takhir di waktu Isyak nanti”.
3.Niat ini adalah syarat untuk jamak takhir. Jika tidak diniatkan dalam waktu Maghrib, jamak tersebut tidak sah.
4.Maksudnya, jika terlupa niat, kita tidak boleh buat jamak takhir tetapi mesti qada solat Maghrib dahulu.
5.Apabila masuk waktu Isyak, bersedialah untuk solat. Mulakan dengan solat fardu Isyak dahulu.
6.Dalam keadaan berdiri dan mengadap kiblat, ucapkanlah lafaz niatnya:
Maksudnya: Sahaja aku solat fardu Isyak, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.
7.Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
8.Kerjakanlah solat fardhu Isyak tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
9.Selesai sahaja salam, teruslah bangun berdiri untuk solat fardu maghrib tanpa membaca wirid, doa atau solat sunat.
Terus bangun untuk solat kedua selepas memberi salam
10.Jangan dipisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut.
11.Lafaz niat untuk solat fardu Maghrib:
Maksudnya: Sahaja aku solat fardu Maghrib tiga rakaat jamak takhir kerana Allah Taala
12.Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.
13.Kerjakanlah solat fardu Maghrib tersebut sebanyak tiga rakaat (tiada qasar untuk Maghrib) dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.
Perbezaan Solat Jamak Dan Qasar
QASAR | JAMAK |
Qasar dibolehkan pada musafir yang panjang. | Jamak terdapat dua pendapat iaitu ada pendapat yang membolehkan musafir yang tidak mencapai 2 marhalah (lebih kurang 86 km). |
Melakukan qasar adalah lebih afdal. | Ada qaul yang berpendapat meninggalkan jamak adalah lebih afdal. |
Tidak boleh melaksanakan solat dasar di belakang orang yang bersolat tamam (sempurna). | Solat jamak boleh dilakukan di belakang orang yang tidak melakukan solat jamak. |
Wajib niat qasar ketika takbiratulihram. | Niat jamak boleh dilakukan selepas takbiratulihram. |
Solat qasar tidak boleh dilaksanakan dalam perjalanan yang tidak bermusafir. | Solat jamak boleh dilaksanakan pada zaman bermukim disebabkan hujan yang membasahi baju dan sakit yang membebankan. |