Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2023M
Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2023M (MTHQK) adalah merupakan salah satu program tahunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dianjurkan bersama dengan kerajaan-kerajaan negeri.
Berikut dikongsikan info-info penting mengenai acara ini.
Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023 (MTHQK)
Penganjuran MTHQK pada tahun 2023 ini dibuat bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang di mana Negeri Pulau Pinang menjadi tuan rumah sepanjang berlangsungnya majlis tersebut.
Majlis akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang.
Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah menyempurnakan perasmian majlis ini pada hari Ahad (11 Jun 2023) di Dewan Utama PICCA.
Untuk Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah pula, ia akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Bin Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 16 Jun 2023 (Jumaat), 8.00 malam di tempat yang sama.
Penganjuran MTHQK bermatlamat melahirkan generasi qurani di Malaysia yang memahami intipati Kitab Suci ini untuk diaplikasikan dalam amalan kehidupan seharian.
Pembinaan asas keimanan yang kukuh dan pembangunan rohani ummah yang berpandukan kitab suci Al-Quran membawa kepada pembinaan generasi Al-Falah yang merupakan elemen penting dalam membangunkan kegemilangan tamadun ummah yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri menerusi landasan aspirasi ‘Membangun Malaysia Madani’.
BACA JUGA: MSSM 2023 – Takwim Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia
Tarikh MTHQK 1444H/2023M
Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2023M (MTHQK) dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula pada 11 hingga 16 Jun 2023 bersamaan 22 hingga 27 Zulkaedah 1444H (Ahad hingga Jumaat).
Sesi hafazan akan bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang, manakala sesi Tilawah pula bermula jam 8.45 malam.
Kategori Yang Dipertandingkan & Hadiah
Untuk tahun 2023 ini, Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023 (MTHQK) melibatkan penyertaan seramai 112 peserta daripada seluruh negeri.
Secara umumnya, setiap negeri diwakili oleh lapan (8) peserta iaitu dua (2) peserta dalam pertandingan Tilawah Al-Quran manakala enam (6) peserta dalam pertandingan Hafazan Al-Quran. Kesemua peserta berumur di antara 10 hingga 25 tahun.
Penglibatan seluruh negeri dalam pertandingan tahun ini menjadikan jumlah peserta Tilawah adalah seramai 29 orang; iaitu 14 orang Qari dan 14 orang Qariah dan seorang Johan Menunggu Qari.
Hafazan pula bakal menyaksikan seramai 80 orang perserta, dengan para huffaz lelaki dan wanita akan bertanding dalam 3 kategori seperti berikut iaitu:
- Kategori Pertama = 10 Juzuk (14 lelaki dan 13 wanita)
- Kategori Kedua = 20 Juzuk (14 lelaki dan 14 wanita)
- Kategori Ketiga = 30 Juzuk (13 lelaki dan 12 wanita)
Johan peserta Majlis Tilawah Dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun ini akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah Dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa yang akan diadakan pada 19 hingga 24 Ogos 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Hadiah wang tunai RM20,000.00 kepada johan tilawah dan johan hafazan 30 juzuk. Kadar baru ini bermula tahun 2023.
Penjurian
Seramai 32 hakim terlibat iaitu 17 orang untuk menilai bacaan para peserta Tilawah. Manakala para huffaz pula akan dinilai oleh 15 hakim.
Jemaah hakim akan dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM.
Aspek-aspek bacaan yang akan dinilai oleh para hakim ini ialah kelancaran bacaan (fasohah), hukum tajwid, suara, persembahan dan tarannum.
Maklumat Lanjut
Orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan dan memeriahkan MTHQK 2023 di Dewan PICCA bermula 11 hingga 16 Jun 2023 dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam.
Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023 juga akan bersiaran secara langsung di saluran TV1 RTM, TV Al-Hijrah, radio-radio milik RTM, radio IKIM FM, WEB TV JAKIM (www.jakim.tv) dan di akaun-akaun media sosial rasmi JAKIM.
- TV1 RTM: https://rtmklik.rtm.gov.my/
- TV Al-Hijrah: https://www.tvalhijrah.com/
- Radio-radio milik RTM
- Radio IKIM FM
- Media sosial rasmi: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM
Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari portal rasmi JAKIM.