Hukum Simpan Daging Korban Lebih Dari 3 Hari
Pernahkah anda mendengar larangan untuk kita simpan daging korban melebihi dari 3 hari?
Mungkin ada yang tertanya-tanya sama ada pernyataan hukum ini benar dan apakah sumber atau hikmah di sebalik larangan tersebut.
Di sini kami kongsikan hukumnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Hukum Simpan Daging Korban Lebih 3 Hari
Sebenarnya, terdapat beberapa pendapat yang mahsyur dalam menentukan hukum ini iaitu:
HUKUM SIMPAN DAGING KORBAN LEBIH DARI 3 HARI
I) HARAM
Haram menyimpan daging korban melebihi 3 hari. Ini adalah pendapat Ali RA dan juga pendapat Ibn Umar R.Anhuma. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim iaitu daripada Abu Ubaid bahawa beliau berkata:
شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ فَبَدَأَ بِالصَّلاَةِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ وَقَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَانَا أَنْ نَأْكُلَ مِنْ لُحُومِ نُسُكِنَا بَعْدَ ثَلاَثٍ
Maksudnya: Aku telah bersama’Ali bin Abi Talib ketika hari raya (korban) maka beliau memulakannya dengan solat sebelum berkhutbah dan berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menegah kita daripada memakan daging korban melebihi 3 hari”.
Riwayat Muslim (1969)
Seterusnya, Ibn Umar R.Anhuma juga ada menyebutkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
لاَ يَأْكُلْ أَحَدٌ مِنْ لَحْمِ أُضْحِيَّتِهِ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ
Maksudnya: Janganlah salah seorang dari kamu memakan daripada daging korban melebihi 3 hari.
Riwayat Muslim (1970)
Di dalam sebuah athar juga ada menyebutkan bahawa Ibn Umar R.Anhuma tidak memakan daging korban melebihi 3 hari dan ini diriwayatkan sendiri oleh anaknya Salim.
II) DIBOLEHKAN
Dibolehkan untuk menyimpan daging korban melebihi 3 hari dan hadith mengenai larangannya itu telah dimansukhkan. Ini adalah pendapat jumhur para ulama’.
Terdapat banyak hadith yang menunjukkan kepada keharusan menyimpan daging korban melebihi 3 hari, antaranya riwayat daripada Abdul Rahman bin ‘Abis daripada bapanya telah bertanyakan kepada ‘Aisyah R.Anha adakah Rasulullah SAW telah melarang dari memakan daging korban melebihi 3 hari dan jawab ‘Aisyah R.Anha:
مَا فَعَلَهُ إِلاَّ فِي عَامٍ جَاعَ النَّاسُ فِيهِ فَأَرَادَ أَنْ يُطْعِمَ الْغَنِيُّ الْفَقِيرَ وَإِنْ كُنَّا لَنَرْفَعُ الْكُرَاعَ فَنَأْكُلُهُ بَعْدَ خَمْسَ عَشْرَةَ
KESIMPULAN
Melihat kepada perbahasan ini, difahamkan bahawa pendapat kedua lebih tepat dan ianya telah memansuhkan pendapat yang pertama sepertimana yang telah dinukilkan riwayat-riwayat yang berkaitan dengannya sebelum ini.
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan:
Ianya juga melihat kepada ‘illah (sebab) mengapa Rasulullah SAW melarangnya kerana pada waktu itu telah berlakunya musim kelaparan dan tujuan larangan tersebut adalah untuk membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.
Sekiranya daging korban di simpan melebihi tiga hari, maka tujuan memberi makan mereka yang memerlukan tidak tercapai.
Sumber: IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI 7: HUKUM MENYIMPAN DAGING KORBAN LEBIH DARI 3 HARI, JAKIM
Baca juga: