Kisah Benar Wanita Dirasuk Jin Menumpang Dalam ‘Teddy Bear’ Kesayangan
Patung permainan sinonimnya dijadikan bahan permainan oleh kanak-kanak. Tidak hanya menjadi kegemaran kanak-kanak, orang dewasa terutamanya wanita juga turut menjadikan patung sebagai satu perhiasan dan lazimnya diletakkan di dalam bilik.
Baru-baru ini sebuah pusat perubatan Islam, Terapi Islam Ibnu Katsir telah berkongsi sebuah kisah benar yang berlaku kepada pesakit yang dirawat berkaitan dengan patung.
Menurut hantaran yang dikongsi di laman Facebook itu, pesakit tersebut mengalami kerasukan kerana terdapat ‘jin’ yang menumpang di dalam patung yang disimpannya.
Ikuti perkongsian cerita ini di bawah, semoga menjadi teladan dan pengajaran kepada kita semua.
Baca juga: Kisah Wanita Berjaya Simpan RM3,000 Sebulan Selepas Ikut 4 Langkah Ini
Kerasukan yang bermula pada pagi sehingga tengah hari tanpa henti. Seperti biasa, sebelum kerumah pesakit tersebut, beberapa soalan diajukan bagi memastikan keadaan pesakit dan persediaan yang perlu dilakukan.
“Boleh saya tahu ni siapa ya”
“Saya Ahmad, adik pesakit yang ustaz rawat semalam”
“Ok, kenapa dengan kakak?”
“Dari pagi tadi kakak menjerit-jerit, kaki dan tangan jadi keras dan bergerak tak boleh dikawal”
“Baik, Insha-ALLAH saya akan datang pada jam 3.30 petang. Jangan layan apa yang kakak cakap dan perhatikan gerak geri dia sehingga saya sampai”
Demikian dialog perawat dengan adik pesakit berkenaan.
Dalam kepala berfikir macam-macam. Pesakit ini balik dari pusat rawatan semalam dalam keadaan tenang tapi bila balik kerumah jadi semakin teruk. Mesti ada sesuatu dirumah pesakit ini hati saya terdetik.
Bismillah, perjalanan lebih kurang 25 minit dari pusat rawatan ke rumah pesakit dimulakan.
Jam 3.45 petang saya sampai kerumah pesakit tersebut bersama dengan Ahmad (adik pesakit).
Keadaan dirumah tenang. Kakaknya yang tadinya kerasukan masih berada di dalam bilik.
Keluarga pesakit telah menunggu di bawah, tidak lama kemudian pesakit turun dari biliknya dalam keadaan resah dan separa sedar.
Saya meminta pesakit duduk menghadap kearah kiblat dan sesi ruqyah dimulakan dihadapan keluarganya.
Surah Al Fatihah dibacakan dan pesakit terus meraung menjerit tidak selesa.
“Kenapa kau datang tempat aku! aku nak dia mati!
“Di mana tempat kamu? Dengan izin Allah dan kehendak Allah, tunjukan dimana?
“Sana!” pesakit menunjukkan arah didapur dan bilik.
Tanpa berlengah, saya terus ke dapur dengan membawa sebekas air.
Beberapa potongan ayat ruqyah dibacakan. Antaranya dari surah Al Baqarah, Al Hasr, Al Mukminun, Ar Rahman dan Muawwizat.
Jam menunjukkan 4.32 petang, tepat pada waktu Asar.
Azan dikumandangkan ditengah-tengah rumah tersebut, pesakit semakin agresif dan tidak keruan.
Selesai azan, air yang telah diruqyah tadi dipercikkan sekitar dapur dan saya naik ke bilik pesakit tersebut bersama Ahmad.
Mata saya tertumpu pada satu patung teddy bear yang besar sewaktu merenjis air dalam bilik tersebut. Mata patung ini bagai memerhatikan gerak-geri saya.
Saya membawa patung ini turun ke bawah dan serta merta pesakit itu merayu.
“Jangan apa-apakan dia. Itu tempat aku. Aku dah lama duduk disitu. Aku temankan dia. Aku kawan dengan dia,” kata pesakit.
Dengan lantang saya berkata: “Berpindahlah kamu wahai makhluk Allah! Sebelum patung ini dimusnahkan!
Ruqyah terus dibacakan pada pesakit selama 20 minit dan dengan izin ALLAH pesakit sedar dalam keadaan yang lemah.
Saya meminta izin pada pesakit dan keluarga untuk musnahkan patung ini dan mereka membenarkannya.
Pun begitu, sebelum patung ini dimusnahkan, saya bertanya pesakit beberapa soalan.
“Sayang ke dengan patung ni?”
“Dia seperti anak saya” sehingga menggelarkan dirinya MAMA kepada patung tersebut.
“Dia tempat saya meluahkan perasaan, dia tempat saya mengadu semua perasaan saya”
“Dia faham perasaan saya. Saya dapat rasakan dia ‘hidup’.
Nasihat dan panduan terus diberikan pada pesakit ini. Jin telah menetap pada patung tersebut sehingga pesakit merasakan patung tersebut hidup.
Patung itu akhirnya dibakar dan pesakit dapat merasakan sesuatu yang amat berbeza didalam dirinya.
Setelah pesakit sedar dan pulih dari kerasukan bermula sesi perbualan antara saya bersama pesakit.
“Istimewa sangat ke teddy bear ni dik?” tanya saya.
“Saya dah anggap dia anak saya, setiap hari saya bercakap dengan dia..saya luahkan perasaan dekat dia,” katanya.
“Astaghfirullah, kita ada ALLAH dik, kita luah pada DIA dik, bukan pada patung ni.
”Syaitan suka adik buat macam tu. Teddy bear ni jadi sarang syaitan dik,” kata saya.
Turut diceritakan pernah terjadi satu peristiwa, teddy bear tersebut beralih sendiri dari atas katil pergi ke bawah katil.
Pesakit berkenaan turut mengakui pernah melihat teddy bear ini bergerak sendiri seperti hidup.
Antara gangguan yang dihadapi oleh pesakit tersebut adalah sering merasa gatal-gatal di seluruh badan. Selain itu, dia juga menjadi seorang yang panas baran dan sangat sensitif.
Menurut perawat Terapi Islam Ibnu Katsir, teddy bear berkenaan sudahpun dibakar dan dimusnahkan sejurus pulang dari rumah pesakit.
Katanya, dengan izin ALLAH, pesakit berkenaan tidak lagi merasa gatal-gatal pada tubuhnya. Malah dia menjadi seorang yang lebih tenang serta penyabar.
Menurut Terapi Islam Ibnu Katsir, pengalaman dan kisah ini dapat dijadikan iktibar serta pengajaran agar melakukan perkara berikut:
- Sentiasa memohon perlindungan ALLAH dengan mengamalkan zikir pagi dan petang yang sahih.
- Sentiasa mengadu pada ALLAH yang Maha Mendengar serta Maha Mengetahui
- Tidak menyimpan anak patung untuk dijadikan sebagai hiasan dan ‘kawan.’
- Kebiasaanya patung-patung ini menjadi sarang dan tempat tinggal jin hikmah.
Terdapat larangan dalam beberapa hadis mengenai menyimpan dan meletakkan patung di dalam rumah serta mengukirnya.
Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ
Maksudnya: Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.
[Hadis riwayat al-Bukhari (3225) dan Muslim (2016)]
Semoga kisah ini menjadi iktibar buat kita semua.