Johor Mungkin Cuti Sabtu-Ahad, Jumaat Kerja Separuh Hari

Kerajaan negeri Johor mungkin melaksanakan hujung minggu rasmi dua setengah hari, dengan hari Jumaat sebagai kerja separuh hari, diikuti Sabtu dan Ahad sebagai hari rehat hujung minggu, menurut beberapa sumber.

Malay Mail yang memetik sumber sebagai berkata bahawa cadangan hujung minggu dua setengah hari akan membolehkan umat Islam bersiap sedia untuk solat Jumaat.

“Sebagai sebahagian daripada cadangan itu, kerajaan negeri akan menamatkan hari bekerja Jumaat pada tengah hari, dan penjawat awam tidak perlu kembali ke pejabat selepas solat Jumaat.

“Sabtu dan Ahad akan ditetapkan sebagai hari rehat rasmi dan permulaan minggu bekerja adalah pada Isnin berikutnya.

“Dari Isnin hingga Khamis, mungkin ada tambahan waktu bekerja dari 8 pagi hingga 6 petang untuk menggantikan separuh hari Jumaat.

“Pada masa ini, waktu kerja rasmi adalah dari 8 pagi hingga 5 petang,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan Johor kembali menjadikan Sabtu dan Ahad sebagai hari rehat hujung minggu.

cuti johor

Kerajaan Johor sebelum ini telah menjadikan Jumaat dan Sabtu sebagai hari rehatnya sejak 1 Januari 2014, berikutan titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena sambutan hari keputeraan baginda ke-55 pada 23 November 2013.

Sultan Ibrahim dilaporkan berkata, perubahan itu bagi memudahkan umat Islam di Johor menunaikan solat Jumaat.

Satu lagi sumber, yang mengetahui maklumat mengenai cadangan semakan hari rehat untuk Johor, mengesahkan bahawa kerajaan negeri berpotensi melaksanakan dua setengah hari cuti rehat.

“Peraturan itu nampaknya akan dilaksanakan dan ia telah dimaklumkan kepada Sultan Ibrahim sebelum baginda berangkat memulakan cuti pada 18 Jun,” katanya.

Sumber yang sama menegaskan bahawa tempoh pelaksanaan akan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk membolehkan penentukuran sistem tertentu dalam kerajaan negeri.

“Sebenarnya, kami sedang memperhalusi cadangan untuk diluluskan dan disahkan tidak lama lagi.

“Semoga hari rehat hujung minggu baharu dapat dilaksanakan tahun ini,” kata sumber itu.

Pada 14 Jun lalu, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri sedang melihat kemungkinan menyemak semula hari rehatnya selepas mendengar maklum balas rakyat mengenai perbezaan antara kerajaan dan badan swasta.

Beliau berkata penyelesaian kepada perkara itu boleh diumumkan pada bulan hadapan.

Pada 2013, Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah mengisytiharkan pertukaran hari rehat negeri itu kepada Jumaat dan Sabtu berbanding Sabtu dan Ahad.

Selain Johor, negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu turut mengamalkan cuti mingguan pada Jumaat dan Sabtu.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: