JPJ Laksana Ops Sedar Hari Ini, Kesan Kenderaan Tiada Insurans
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Ops Sedar di seluruh negara bermula 24 November (Rabu) bagi memantau pemilik kenderaan yang gagal memiliki perlindungan insurans kenderaan motor.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata tindakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui sekatan jalan raya (SJR) akan dibuat di beberapa lokasi terpilih.
Menurut beliau pengguna jalan raya yang tidak memiliki perlindungan insurans kenderaan motor boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 90(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya ditahan di SJR dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 serta lesen boleh digantung selama 12 bulan.
Zailani berkata semasa pelaksanaan Ops Sedar, pihak JPJ juga ada menyediakan kemudahan Mobile JPJ untuk tujuan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LLM) secara terus.
Baca juga:
- Cara Renew Lesen Memandu Online (MyEG). Terus Sampai Depan Pintu!
- No Plat Fancy, Tak Ikut Spesifikasi JPJ, Boleh Kena Saman RM3000
Ops Sedar memfokuskan kepada kesalahan tiada perlindungan insurans dan juga lain-lain kesalahan.
Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri yang terpilih turut menyediakan kaunter JPJ Mobile di setiap lokasi Ops Sedar dan pengguna jalan raya boleh memperbaharui lesen memandu serta lesen kenderaan motor tanpa perlu hadir ke pejabat.
Pihak insurans juga terlibat sama dalam menjayakan operasi ini dengan membuka kaunter pembaharuan insurans kenderaan di kawasan terpilih.
Sumber: BERNAMA / Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ)