Talian Kecemasan Baharu, 997 Dilancarkan – NSRC
PENUBUHAN NATIONAL SCAM RESPONSE CENTRE (NSRC) SEBAGA PUSAT SETEMPAT BAGI RESPON SEGERA DAN BERSEPADU MENANGANI KES-KES JENAYAH PENIPUAN SIBER DAN PELANCARAN TALIAN KECEMASAN 997
National Anti-Financial Crime Centre _ NFCC Official
Putrajaya, 14 Oktober 2022 – Sepertimana yang telah diumumkan dalam pembentangan bajet 2023 oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan pada 7 Oktober 2022, Pusat Respons Scam Kebangsaan atau National Scam Response Centre (NSRC) telah ditubuhkan sebagai salah satu inisiatif bagi menangani kes-kes jenayah penipuan siber dengan lebih berkesan dan bersepadu.
NSRC adalah sebuah pusat respons setempat yang menggabungkan sumber dan kepakaran daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), nstitusi-institusi perbankan serta syarikat perkhidmatan telekomunikasi bagi menerima laporan daripada mangsa-mangsa penipuan siber.
Ini untuk membolehkan tindakan bersepadu dan segera bagi menyekat pengaliran dana selanjutnya serta mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pelaku jenayah siber.
Talian Kecemasan 997 Dilancarkan Untuk Menghubungi NSRC
Bagi membolehkan pihak NSRC mengambil tindakan yang berkesan khususnya untuk menyekat pengaliran dan pelupusan wang mangsa, mereka boleh terus menghubungi talian khusus bank masing-masing berkenaan laporan insiden penipuan siber (yang akan beroperasi 24 jam) atau talian NSRC iaitu 997 yang akan beroperasi setiap hari termasuk cuti umum dari pukul 8.00 pagi sehingga 8.00 malam.
Tindakan segera menghubungi pihak bank atau NSRC adalah sangat penting bagi membolehkan tindakan menyekat pengeluaran wang mangsa selanjutnya daripada sistem perbankan.
Bagi memudahkan tindakan penguatkuasaan, mangsa perlu emberikan maklumat berkaitan insiden penipuan siber yang dialami semasa menghubungi pihak bank atau NSRC.
Ini termasuk maklumat komunikasi antara mangsa dengan suspek dan maklumat transaksi yang membawa kepada mangsa ditipu seperti nombor akaun dan nama bank mangsa dan suspek serta jumlah dana yang terlibat.
Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada apabila dihubungi oleh mereka yang mengaku kononnya daripada pihak berkuasa atau berkaitan apa-apa perkhidmatan yang diragui.
Pihak NSRC, agensi-agensi berkaitan di bawah NSRC atau bank-bank tidak akan menghubungi orang ramai untuk meminta maklumat perbankan peribadi seperti nombor PIN, TAC, OTP atau kata laluan.
Orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan yang sewajarnya bagi mengesahkan keabsahan fakta-fakta jika dihubungi oleh pihak yang meminta maklumat berkenaan.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut mengenai NSRC, sila hubungi NFCC di 03- 8861 3830, PDRM (03-2610 1222) dan BNM (1-300-88-5465). https://bit.ly/3Tge9YS
Baca juga: Lif Jatuh Dari Tingkat 8, Dua Individu Patah Kaki