Niat Puasa Ganti Dan Sunat – Apakah Hukum Gabung Puasa?

Niat Puasa Ganti Dan Sunat – Apakah Hukum Gabung Puasa? ~ Puasa di bulan Ramadan adalah rukun Islam ketiga dan merupakan salah satu kewajiban untuk setiap muslim. Sehubungan dengan itu, setiap puasa yang ditinggalkan semasa bulan Ramadan wajib diganti (*mengikut situasi). 

Hukum ganti puasa adalah wajib seiring dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 183-184 yang bermaksud :

“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain ;dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”. 

BACA JUGA: Doa Bulan Rejab, Niat Puasa Sunat & Amalan Yang Digalakkan

Lafaz Niat Puasa Ganti

Lafaz bagi niat puasa qadha adalah seperti berikut:

Puasa Ganti

Sahaja aku niat puasa esok hari kerana mengganti fardhu Ramadan kerana Allah Taala.

Puasa Ganti

Golongan yang diwajibkan untuk menggantikan puasa (qadha) adalah seperti berikut:

  • Orang yang sengaja meninggalkan puasa tanpa sebab
  • Orang sakit yang ada harapan sembuh.
  • Orang yang bermusafir (bukan kerana maksiat) melebihi dua marhalah.
  • Orang yang kedatangan haid dan nifas.
  • Perempuan yang menyusukan anak dan bimbang keselamatan dirinya jika berpuasa Ramadan.
  • Orang yang sengaja melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
  • Orang yang pitam/mabuk sewaktu bulan Ramadhan.
  • Orang yang sangat lapar dan dahaga yang tidak membolehkannya berpuasa pada bulan Ramadan.

Waktu Untuk Mengganti Puasa Ramadan

Ganti puasa atau qadha puasa yang ditinggalkan semasa bulan Ramadan boleh dilakukan seawal 2 Syawal sehinggalah sebelum masuk Ramadan pada tahun berikutnya kecuali pada hari-hari yang diharamkan berpuasa. 

Antara hari yang diharamkan berpuasa adalah:

  • Hari Raya Aidilfitri iaitu 1 Syawal
  • Hari Raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah
  • Hari Tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah

Anda disyorkan untuk mengganti puasa seawal mungkin kerana puasa ganti wajib ditunaikan sebelum tibanya bulan Ramadan seterusnya.

Sekiranya GAGAL mengganti puasa hingga masuk bulan Ramadan pada tahun seterusnya, anda diwajibkan membayar fidyah.

Fidyah merupakan denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasanya di bulan Ramadhan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadhan tahun berikutnya.Ia dikeluarkan mengikut bilangan hari berpuasa yang ditinggalkan dan diberikan kepada fakir miskin.

BACA JUGA: Kadar Fidyah 2023 Setiap Negeri – Cara Kira & Bayar

Hukum Gabung Niat Puasa Ganti Dan Sunat (6 Syawal)

Adakah boleh menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa ganti dan puasa enam hari di bulan Syawal?

Terdapat dua pandangan mengenai hal ini:

Pandangan pertama, jumhur ulama mengatakan kita kena puasa ganti ramadan terlebih dahulu, kemudian selepas itu barulah dibuat Puasa Sunat Enam.

Pandangan kedua, ada sebahagian kecil fuqaha berpandangan bahawa kita boleh melakukan puasa ganti sekaligus dengan Puasa Sunat Enam Syawal. Kita akan dapat dua-dua pahala (qadha dan sunat). 

Dalam perkara khilaf sebegini, ia terpulang kepada kita nak gunakan pendapat yang mana satu. Jika pilih pandangan pertama pun boleh, pandangan kedua pun boleh. 

Puasa Ganti

Manakala berdasarkan perkongsian daripada Mufti Wilayah Persekutuan, berikut adalah jawapannya:

Diharuskan untuk menggabungkan beberapa niat dalam satu puasa sunat, terutama jika pelaksanaan puasa itu berbetulan dengan hari-hari yang digalakkan puasa, seperti puasa enam syawal, hari-hari putih, isnin dan khamis. Sebahagian ulama’ mensyaratkan supaya digabungkan niat, manakala sebahagiannya tidak, bahkan memadai meniatkannya sebagai puasa sunat secara umum bagi mendapatkan pahala berganda.

Lafaz Niat Puasa Ganti Digabung Puasa Sunat Enam Syawal

Puasa Ganti

Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadan bersama puasa sunat enam hari bulan Syawal kerana Allah Taala.

Lafaz Niat Puasa Ganti Digabung Puasa Sunat Yang Lain

Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadan bersama puasa sunat hari isnin* (diubah mengikut puasa sunat yang ingin dilakukan) kerana Allah Taala.

Kesimpulan 

Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan ilmu pengetahuan untuk anda. Apapun, jangan lupa ganti puasa Ramadan yang anda tinggalkan ya!

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: