Peniaga Online / Dropship Perlu Bayar Zakat Jika Cukup Syarat. Ini Cara Kira

Peniaga dalam talian, ejen pesan hantar (dropship) dan mereka yang terlibat dalam perniagaan secara dalam talian adalah golongan yang layak dikenakan zakat perniagaan, kata Penolong Pengurus Besar Dakwah Zakat, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Khairul Azhar Samsudin.

Beliau berkata peniaga-peniaga kecil perlu melaksanakan tanggungjawab zakat mereka ke pejabat PPZ-MAIWP sekiranya cukup syarat dan nisabnya.

“Dalam tempoh pandemik ini kita dapat lihat bahawa antara sektor ataupun industri yang agak melonjak adalah mereka yang terlibat dengan perniagaan dalam talian,” katanya dalam sesi temu bual yang bertajuk ‘Zakat Mengisi Perut Orang Lain’ melalui Google Meet.

Khairul Azhar berkata zakat perniagaan berbeza dengan zakat pendapatan ataupun zakat individu kerana golongan yang wajib membayar zakat perniagaan akan diberikan rebat cukai dan ia termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Kelebihan bagi mereka yang membayar zakat perniagaan adalah zakat ini terhad kepada 2.5 peratus kepada pendapatan agregat sesebuah syarikat,” katanya.

Syarikat yang mempunyai pemilikan usaha sama dengan orang yang bukan Islam pula hanya perlu membayar mengikut pecahan pemilikan bagi pemilik beragama Islam sahaja.

“Sebagai contoh, dalam syarikat A terdapat dua pemegang saham Abu dan Ah Chong jadi kedua-duanya mempunyai ekuiti 50 peratus dalam syarikat A.

“Secara kesimpulannya, zakat dalam perniagaan ini dikira ke atas Abu sahaja iaitu 50 peratus, kita tidak mengambil kira ke atas Ah Chong kerana syarat wajib zakat tersebut ia haruslah beragama Islam,” katanya.

Sehubungan itu, Khairul Azhar menyeru orang ramai yang layak membayar zakat perniagaan agar melaksanakan tanggungjawab mereka kerana zakat merupakan nadi dalam menggerakkan ekonomi kepada pemberi dan penerima zakat.

Katanya, penerima zakat akan mendapat pelbagai skim bantuan antaranya skim bantuan perniagaan bagi membantu bukan sahaja mereka dan keluarga malah dalam masa yang sama dapat menyumbang kepada ekonomi negara.

Pada 15 Nov lepas, PPZ-MAIWP melancarkan kempen Year End Zakat YEZ bertujuan menggalakkan orang ramai menyegerakan tanggungjawab berzakat selewat-lewatnya pada 31 Dis ini, bagi mendapatkan rebat cukai pendapatan taksiran 2021 dan menikmati lebih 1,200 hadiah menarik.

Sumber: BERNAMA

Syarat Zakat Perniagaan

Menurut Pusat Pungutan Zakat (PPZ MAIWP), syarikat atau entiti perniagaan adalah diwajibkan zakat apabila mencukupi syarat-syarat seperti berikut:

  1. Perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam.
  2. Perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam yang Merdeka.
  3. Sempurna milik.
  4. Cukup nisab.
  5. Cukup haul ( genap setahun qamariah/ 354.3 hari)
  6. Kadar zakat ke atas syarikat tersebut adalah 2.5%.
  7. Syarikat yang dimiliki bersama antara orang Islam dan bukan Islam, maka wajib ke atas jumlah saham yang dimiliki oleh orang Islam sahaja berdasarkan pendapatan bersih yang ditaksir setelah dibuat pelarasan dan penolakan item-item terbabit.

Baca juga:

Cara Kira Zakat Perniagaan

Asas kiraan zakat perniagaan bagi syarikat-syarikat perniagaan khasnya yang memiliki akaun dan penyata kewangan atau kunci kira-kira yang lengkap terbahagi kepada dua kaedah utama :

Pertama : Kaedah Model Berkembang ?Growth Model?

Ia mengambil kira ekuiti pemilik entiti perniagaan tersebut, sumber-sumber pembiayaan kewangan dan dibuat pelarasan sama ada dicampur atau sebaliknya. Di dalam istilah yang lebih ringkas ialah Modal dicampur dengan Keuntungan.

Formula yang digunakan adalah :

[Ekuti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang – Aset Tetap – Aset Separuh Tetap]* % Pemilikan Saham Muslim x 2.5%

Kaedah atau pendekatan ini sesuai bagi Institusi Kewangan Islam atau Perbankan Islam, Takaful dan Syarikat Berhad yang tidak mengkelaskan Aset Semasa dan Liabiliti Semasa.

Kedua : Kaedah Modal Kerja / Working Capital

Ia mengambil kira kedudukan Harta Semasa perniagaan ditolak dengan tanggungan semasa perniagaan dan dibuat pelarasan dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan zakat yang perlu diambil kira. Pelarasan ini dibuat samaada dengan mencampurkan item-item yang telah dikenalpasti perlu ditambah atau membuat tolakan.

Formula yang digunakan ialah :

[Aset Semasa – Liabiliti Semasa]* X %Pemilikan Saham Muslim X 2.5%

Kaedah ini biasanya sesuai digunakan bagi syarikat-syarikat seperti syarikat Berhad, Sdn. Bhd., Koperasi, Perniagaan, Perusahaan dan sebagainya dimana terdapat pengkelasan aset semasa dan liabiliti semasa.

Zakat Peniaga Online / Peniaga Kecil-kecilan

Bagi pemilik perniagaan yang tidak mempunyai akaun atau penyata kewangan seperti peniaga runcit, pasar malam, peniaga online / sambilan atau restoran, zakat akan ditaksir dengan mengambil kira semua hasil, jualan, perolehan dan dikumpulkan dan dikira jumlahnya.

Kemudian senarai kos, perbelanjaan, tanggungan terlibat, pengoperasian seperti sewa dan bil-bil utiliti misalnya hendaklah ditolak dari jumlah jualan kasar yang dibuat. Bakinya (untung bersih) yang melebihi nisab akan dikenakan zakat sebanyak 2.5%.

Secara mudahnya, kaedah pengiraan ini ditaksir dari keuntungan bersih yang diperolehi setelah ditolak segala kos dan perbelanjaan berkaitan.

Dalam sebuah hantaran di Twitter, Zakat Selangor telah berkongsi cara pengiraan zakat perniagaan seperti berikut:

Sumber: Twitter

https://twitter.com/zakatselangor/status/1052022102256050176

Maklumat lanjut: https://www.zakat.com.my/soalan-lazim/zakat-perniagaan/#1481609982347-70ec2bcb-8cc4

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: