[VIDEO] Pemandu Lori Rempuh 5 Kereta Positif Dadah

VIDEO TULAR: PEMANDU LORI POSITIF DADAH REMPUH 5 KERETA

Kuala Lumpur, 6 September 2021 – Pemandu lori yang merempuh lima kenderaan sehingga menyebabkan sebuah kereta Perodua Myvi remuk teruk dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh, di sini, petang tadi, disahkan positif dadah.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, lori yang dipandu laju lelaki berusia 25 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh dua Perodua Myvi dan masing-masing Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL yang berhenti di lampu isyarat merah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Tuan Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati lori itu dari Jalan Duta menghala ke Sentul.

Katanya, nahas itu mengakibatkan seorang pemandu Perodua Myvi berusia 45 tahun cedera ringan dan ditempatkan di zon hijau Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

“Pemandu kenderaan lain sudah menerima rawatan dan tiada kecederaan serius dilaporkan. Semua mereka dibenarkan pulang kecuali pemandu lori yang ditahan untuk siasatan.

Lori rempuh 5 kereta
Lori rempuh 5 kereta jalan ipoh

“Pemeriksaan mendapati, lelaki itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol ketika memandu lori, namun disahkan positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamin hasil ujian saringan air kencing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga: Pekerja Positif COVID Boleh Claim PERKESO. Ini Syarat & Cara Tuntutan

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur (03-20260267/69) atau mana-mana balai polis berhampiran.

*Sumber: Berita Harian Online / Video orang awam

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: