Awas! Jangan Klik Laman Web Palsu Mirip Public Bank – PDRM

PETALING JAYA: Polis memberi amaran mengenai penipuan melibatkan SMS kononnya dari Public Bank yang mengandungi pautan ke laman web yang kelihatan seperti milik bank tersebut.

Satu laporan dibuat di balai polis Petaling Jaya pada Rabu oleh seorang wanita berusia 51 tahun yang mendakwa akaunnya telah ‘dibersihkan’ selepas masuk ke laman web tersebut dan mengikuti arahan untuk memasukkan maklumat perbankan dan kata laluannya.

Mesej itu menyebut bahawa akaunnya berisiko tinggi terdedah kepada pihak ketiga, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Muhammad Yazid Muhammad Yew.

Beliau berkata pautan di dalam pesanan teks itu adalah kepada pbebankonline.com dan menasihatkan orang ramai untuk tidak mengklik pautan tersebut kerana dipercayai ia taktik terbaharu scammer untuk memperdaya mangsanya.

“Setakat ini, dua kes serupa dilaporkan di Selangor membabitkan kerugian RM33,500,” katanya.

Pautan palsu dalam SMS terbabit adalah sama dengan laman web sebenar Public Bank iaitu “https://pbebank.com”. Namun, paparan untuk log masuk bagi pengguna dalam talian Public Bank, menggunakan “www2.pbebank.com”.

Tinjauan ke pautan “pbebankonline.com” sebentar tadi mendapati hanya tertera mesej ralat dan laman web itu tidak dapat diakses.

Kewujudan laman web palsu itu ditimbulkan oleh kumpulan anti-scammer di Facebook semalam yang memberi amaran bahawa “pbebankonline.com” adalah laman phishing yang digunakan bagi mengumpan pelanggan bank untuk mendedahkan maklumat dan kata laluan akaun dalam talian mereka.

*Sumber: Free Malaysia Today

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: