KKM Umum Kelonggaran Terkini SOP Covid-19 Rabu Ini – KJ

KELONGGARAN SOP COVID-19 BAKAL DIUMUM RABU INI – MELIBATKAN 3 PERKARA UTAMA

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA dijangka mengumumkan kelonggaran beberapa prosedur operasi standard COVID-19 pada Rabu ini, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata perancangan KKM itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Insya-Allah dari semasa ke semasa, KKM (Kementerian Kesihatan) akan mengumumkan sedikit kelonggaran demi kelonggaran untuk kita kembali seperti normal.

“Tetapi biarlah kita lambat sedikit asalkan kita selamat dan janganlah kita mengulangi kesilapan negara lain,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Projek Bangunan Tambahan Blok Baharu Institut Endokrin Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Terdahulu, pada sidang media berasingan, Khairy ketika ditanya mengenai kelonggaran pemakaian pelitup muka di Malaysia hanya berkata: “Tunggu minggu depan.”

Beliau berkata setakat ini, kerajaan masih mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata meskipun negara kini berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, masyarakat masih perlu mematuhi SOP dan langkah kesihatan awam yang ditetapkan bagi mencegah penularan COVID-19.

“Ini adalah sangat penting sebab kalau kita lihat pengurusan pandemik di Malaysia pada hari ini, kita semakin berjaya.

“Kes semakin terkawal, kemasukan ke hospital semakin menurun serta kadar kematian akibat COVID-19 dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) menurun,” katanya.

Baca juga: Budak 10 Tahun Maut, Cuba Tahan Kereta Mengundur Selepas Turunkan Brek Tangan

Dijangka Umum 3 Perkara Utama Berkenaan Kelonggaran SOP Covid-19

Menurut laporan Sinar Harian sebelum ini, KKM sedang berbincang, bermesyuarat tentang pelitup muka, MySejahtera dan sama ada perlu melakukan ujian PCR-RTK sebaik tiba di lapangan terbang.

“Ada tiga perkara besar, tunggulah kita akan umum. Kita doakan berita gembira,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat sebuah pusat jagaan kanak-kanak di daerah ini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Menurutnya, sebagaimana dimaklumkan sebelum ini kerajaan tidak akan kembali mengetatkan SOP dan kelonggaran akan diberi dari semasa ke semasa.

Jelas beliau, kelonggaran diberi sememangnya menggembirakan rakyat tetapi pada masa sama ada yang bimbang jika terlampau diberi kebebasan.

Sumber: BERNAMA & Sinar Harian

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: