Lelaki Terjun Jambatan Kedua Pulau Pinang, Tinggalkan Kereta & Barang Peribadi
GEORGE TOWN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) di kilometer 8.5 arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.
Mangsa, Chow Yarn Wai, 39, dari Kuala Lumpur telah meninggalkan kereta jenis Toyota Prius bersama barangan peribadi di jambatan itu sekitar pukul 4.40 pagi.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menerima panggilan daripada Pusat Kawalan Trafik jambatan kedua berhubung kejadian seorang individu dipercayai terjun jambatan kedua Pulau Pinang di Kilometer 8.5 arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung pada jam 4.40 pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak bin Mohamed berkata, sebaik menerima maklumat , Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan dengan mengatur gerak bot PENGGALANG 12 ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian.
Operasi ini turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin Batu Uban dan Agensi Pertahanan Awam dengan keluasan pencarian adalah 22.42 batu nautika persegi.
Mangsa Chow Yarn Wai, 39, dipercayai daripada Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur telah meninggalkan kenderaan jenis Toyota Prius bernombor pendaftaran WVR 8323 serta barangan peribadi di atas jambatan.
Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan berhampiran jambatan kedua. Sehingga kini usaha pencarian masih diteruskan.
Baca juga:
- Peniaga Online / Dropship Perlu Bayar Zakat Jika Cukup Syarat. Ini Cara Kira
- Status MySejahtera Kuning Tak Boleh Masuk Kedai? Ini Cara Tukar Ke Biru
Maritim Malaysia memandang serius kes sebegini dan berharap masyarakat tidak mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan membuat keputusan yang terburu-buru.
Orang awam yang memiliki sebarang maklumat tentang kejadian lelaki terjun di jambatan pagi ini diminta untuk menyalurkan maklumat kepada pihak Maritim Malaysia dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.