Denmark, Norway & Iceland Gantung Penggunaan Vaksin AstraZeneca

LONDON – Denmark, Norway dan Iceland mengumumkan pada hari Khamis 10 Mac 2021, bahawa mereka akan menangguhkan sementara penggunaan vaksin COVID19 yang dikeluarkan oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford.

Pihak Berkuasa Kesihatan Denmark mengatakan pihaknya akan menghentikan suntikan tersebut untuk sementara waktu dalam program vaksinasi sebagai langkah berjaga-jaga setelah ada laporan mengenai kes pembekuan darah yang teruk pada individu yang telah disuntik dengan vaksin COVID-19 dari AstraZeneca.

Penggantungan ini menghentikan sekurang-kurangnya dua minggu penggunaan vaksin AstraZeneca, merangkumi individu yang telah mendapat dos pertama vaksin tersebut.

Untuk rekod, lebih daripada 11 juta dos vaksin AstraZeneca telah diberikan di UK di mana kesan sampingan yang didokumentasikan terhadap vaksin ini sebagian besar adalahnya bersifat ringan atau sederhana dan termasuk rasa sakit di lengan berhampiran suntikan, keletihan, demam dan sakit kepala, biasanya tidak berlangsung lebih dari beberapa hari.

Kajian Sedang Dijalankan

“Dengan tindakan ini, Badan Perubatan Eropah telah melancarkan penyelidikan terhadap vaksin AstraZeneca. Setakat ini, terdapat satu laporan berkaitan dengan kematian di Denmark namun masih belum dapat disimpulkan sama ada ia ada kaitan antara vaksin dan gumpalan darah,” kata pihak berkuasa kesihatan dalam sebuah kenyataan.

Buat masa ini ia tidak menyatakan berapa banyak laporan pembekuan darah yang ada, atau dari mana asalnya.

Susulan daripada itu, Iceland dan Norway juga turut membuat pengumuman serupa.

Pengumuman itu dibuat selepas langkah serupa di Austria pada awal minggu, di mana pihak berkuasa sedang menyiasat kematian seorang individu dan kesan sampingan ke atas seorang lagi individu setelah mereka menerima dos vaksin.

Difahamkan saham AstraZeneca di pasaran London merosot 2.5% pada hari Khamis setelah pengumuman ini dibuat.

Di Malaysia, AstraZeneca adalah salah satu vaksin yang akan digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Namun setakat ini bekalan vaksin yang telah sampai adalah Pfizer dan Sinovac sahaja.

Baca juga: 5 Perkara Tentang Vaksin Sinovac (CoronaVac) Yang Diketahui Setakat Ini

Keberkesanan Vaksin AstraZeneca

Ujian klinikal peringkat akhir mendapati suntikan AstraZeneca-Oxford mempunyai keberkesanan rata-rata 70% dalam melindungi daripada virus.

Vaksin AstraZeneca-Oxford digunakan secara besar-besaran dalam program imunisasi di UK dan Kesatuan Eropah.

Kajian terbaru oleh penyelidik Oxford mendapati bahawa vaksin Covid 76% berkesan untuk mencegah jangkitan simptomatik selama tiga bulan setelah satu dos, dan kadar keberkesanannya meningkat dengan selang waktu yang lebih lama antara dos pertama dan kedua.

Dalam Buku Program Imunisasi Kebangsaan COVID19 Malaysia juga, dinyatakan bahawa keberkesanan vaksin AstraZeneca adalah antara julat 62% – 90%.

*Sumber: CNBC , Wall Street Journal

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: