Pegawai Polis Buat Tik Tok Ketika Serbuan Dipindahkan Ke Jabatan Lain

Seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang membuat rakaman video secara langsung semasa melakukan serbuan menerusi aplikasi TikTok ketika operasi di sebuah pusat hiburan yang tular di media sosial baru-baru ini telah dipindahkan ke jabatan lain.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain ketika dihubungi Bernama pagi ini mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan pegawai polis wanita itu akan berpindah ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Pada Isnin lepas, Pengarah JSJN Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyifatkan tindakan pegawai polis berkenaan menerusi akaun TikTok miliknya bersifat peribadi dan hanya bertujuan untuk mempromosikan akaun TikToknya.

Sehubungan itu, Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) diarah menyiasat kes berkenaan atas arahan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain.

Video berdurasi seminit 38 saat itu dipercayai sewaktu menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pusat hiburan bersama beberapa pegawai dan anggota lain.

Dalam video tersebut, pegawai itu menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.

Video itu turut mendapat kecaman orang ramai kerana dianggap tidak profesional ketika menjalankan tugas.

Razarudin berkata, satu arahan berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama membabitkan aplikasi TikTok akan dikeluarkan JIPS hari ini.

“JIPS tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya benar pegawai terbabit mempunyai motif merakam video berkenaan semata-mata mengumpulkan pengikut laman sosial akaun TikTok miliknya,” katanya.

Pada Ogos 2020, PDRM pernah mengeluarkan arahan melarang pegawai kanan dan pegawai rendahnya memuat naik perkongsian peribadi semasa berpakaian seragam di platform media sosial.

Dalam larangan berkenaan, Bukit Aman memandang serius tindakan pegawai dan anggotanya merakam, memuat naik video tarian dan lain-lain aksi semasa berpakaian seragam menerusi platform media sosial seperti Youtube, Whatsapp, TikTok dan aplikasi lain bagi tujuan untuk menarik perhatian dan mendapat tontonan yang tinggi oleh masyarakat dan netizen.

Dalam perkara sama, tujuan larangan itu dikeluarkan bagi mengelak isu persepsi negatif dan mengundang pelbagai kritikan yang boleh menjatuhkan imej PDRM.

Tabiat atau aktiviti memuat naik video tidak wajar dilakukan pegawai atau anggota polis semasa berpakaian seragam dalam waktu bertugas atau selepas bertugas kerana pakaian berkenaan adalah kebanggaan pasukan dan haruslah digunakan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Sumber: Buletin TV3, Berita Harian

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: