Kompaun Pelitup Muka Tanpa Cop SIRIM Hanya Untuk Pengilang & Pengimport – KPDNHEP
PENANGGUHAN PEWARTAAN PERINTAH PERIHAL DAGANGAN (PERAKUAN DAN PENANDAAN) PELITUP MUKA BUKAN PERUBATAN
MAJLIS AMANAT YB MENTERI BERSAMA PIHAK INDUSTRI SEMPENA PEWARTAAN PERINTAH PERIHAL DAGANGAN (PERAKUAN DAN PENANDAAN) PELITUP MUKA BUKAN PERUBATAN DAN PERANTI ROKOK ELEKTRONIK 2022
PUTRAJAYA, 7 APRIL 2022, KHAMIS – Telah berlangsung Majlis Amanat YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Bersama Pihak Industri Sempena Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan Dan Peranti Rokok Eletronik 2022 di Hotel Le Meridien, Putrajaya.
Sebagai Kementerian yang menerajui pendayaupayaan dan perlindungan pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa berusaha untuk mengkaji dan membangunkan perundangan baharu berkenaan standard keselamatan barangan pengguna. Perkara ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011.
Sejajar dengan itu, Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan dan Peranti Rokok Elektronik 2022 telah diwartakan pada 5 April 2022 dan berkuatkuasa pada 4 Julai 2022 bagi pelitup muka bukan perubatan dan 3 Ogos 2022 bagi peranti rokok elektronik.
Penangguhan Penguatkuasaan Pelitup Muka SIRIM
Walaubagaimanapun, mengambil kira maklum balas dari umum, Kementerian akan MENANGGUHKAN penguatkuasaan Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan dari 4 Julai 2022 ke 1 JANUARI 2023.
Seterusnya, mengenai isu kenaikan harga, SIRIM sudah memberi jaminan kos penandaan yang rendah akan dikenakan ke atas pengilang dan pengimport, yang tidak akan menjejaskan harga jualan runcit.
Untuk pengetahuan umum, tujuan pewartaan ini adalah untuk memastikan pelitup muka bukan perubatan dan peranti rokok elektronik yang dihasilkan dalam negara ataupun diimport mempunyai penandaan MS SIRIM, mematuhi standard dan berkualiti, demi keselamatan pengguna.
Kompaun Hanya Dikenakan Kepada Pengilang & Pengimport
YB Menteri juga menjelaskan mengenai isu pengguna yang akan dikompaun sekiranya memakai pelitup muka tanpa penandaan SIRIM. Beliau menegaskan bahawa tindakan ini hanya akan dikenakan ke atas PENGILANG DAN PENGIMPORT sahaja yang merupakan sebuah entiti syarikat ataupun individu yang merupakan pengilang atau pengimport.
Pengguna tidak akan dikenakan apa-apa tindakan sekiranya menggunakan pelitup muka bukan perubatan tanpa penandaan SIRIM.
Turut hadir dalam majlis amanat ini, YBhg. Tuan Azman bin Mohd Yusof-Ketua Setiausaha KPDNHEP, YBhg. Datin Roszanina binti Wahab-Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP (Pendayaupayaan Pengguna), Dato Dr. Ahmad Sabirin Arshad-Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, En Rahmat bin Wadio-Pengarah Bahagian Standard Kepenggunaan KPDNHEP, wakil-wakil agensi, dan Pegawai-Pegawai Kanan KPDNHEP.
Sumber: Facebook KPDNHEP Laman Rasmi
Baca juga: Permohonan MyKid Kini Dibuka! Ini Dokumen & Cara Apply Untuk Anak