Mangsa Koma Dipukul Suami Selamat Lahirkan Bayi Hari Ini
Wanita hamil yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 43, selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, di sini, malam tadi.
Adiknya, Fauziah Nordin, 40, yang bertanggungjawab menjaga Jahidah sepenuh masa memaklumkan Jahidah menjalani pembedahan kecemasan kira-kira 9 malam tadi.
“Alhamdulillah, Kak Jahidah sudah lahirkan ‘baby,’ pembedahan kecemasan pukul 9 (malam tadi). Esok kena ke hospital tengok baby,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya, hari ini.
Menurut Fauziah, kakaknya kini masih berada di hospital dan dalam pemantauan 24 jam.
Pada Mei lalu dilaporkan Jahidah, seorang penjawat awam dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu, Johor selepas dipercayai dicederakan suaminya.
Polis kemudiannya memburu suami yang dilaporkan ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman di Kuala Lumpur, 11 Jun lalu.
Jahidah yang juga kakitangan kerajaan berada di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, Johor, sebaik insiden itu dialaminya.
Baca juga: Produk Roti Gardenia Naik Harga Dari 10-45 Sen Mulai 1 Disember Ini
Kehamilan ini dianggap sesuatu yang luarbiasa oleh adik yang menjaganya memandangkan sepanjang terlantar Jahidah hanya diberi minum susu.
Difahamkan beliau mengalami kecederaan yang teruk di bahagian kepala dan berlaku pendarahan di otak. Pembedahan terpaksa mengambil masa selama 12 jam.
Jahidah mendirikan rumah tangga pada September tahun lalu dan ketika insiden berlaku, sedang hamil anak pertama empat minggu.
Mangsa yang sedang hamil empat minggu itu mengalami kecederaan parah pada kepala dan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.
Sumber: Harian Metro