Lanjutan Moratorium: Cara Mohon Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar (Mulai 23 Nov 2020)
Menerusi Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa peminjam dari kalangan B40 dan perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman di bawah RM150,000 layak menerima Bantuan Bayaran Balik Pinjaman (TRA) atau Lanjutan Moratorium Bersasar.
Selain itu, peminjam M40 yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional, yang pendapatan isi rumah mereka telah berkurang akibat pandemik juga boleh membuat permohonan untuk pengurangan bayaran balik pinjaman.
Berikut adalah maklumat lanjut tentang cara permohonan Program Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar yang diumumkan melalui laman web rasmi Bank Negara Malaysia.
Apakah Program Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar (TRA)?
Setelah berakhirnya moratorium selama enam bulan, Bank Negara Malaysia sedar akan kesukaran yang terus dialami sebahagian peminjam akibat COVID-19.
Institusi perbankan akan terus membantu peminjam yang mungkin menghadapi cabaran dalam memenuhi obligasi kewangan mereka melalui program Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar (TRA) atau Lanjutan Moratorium Bersasar.
Industri perbankan telah bersetuju memberikan bantuan bayaran balik pinjaman bersasar tambahan untuk peminjam individu dan PKS.
Kesemua penambahbaikan ini merupakan tambahan kepada bantuan yang diumumkan sebelum ini untuk mereka yang kehilangan pekerjaan, serta untuk individu dan PKS yang pendapatan mereka terjejas akibat pandemik.
2 Pilihan Bayaran Balik
Penambahbaikan bantuan bayaran balik ini akan disediakan untuk ansuran mulai bulan Disember 2020 dan akan berkuat kuasa pada ansuran seterusnya selepas permohonan dan pengesahan peminjam diterima.
Para peminjam dalam kedua-dua kategori ini boleh memohon sama ada untuk:
- Menangguhkan ansuran bulanan selama 3 bulan; atau
- Mengurangkan ansuran bulanan sebanyak 50% selama 6 bulan.
Syarat Kelayakan
Menurut info terkini dari laman web BNM tersebut, bantuan bayaran balik pinjaman tambahan akan diberikan kepada peminjam dalam kategori yang berikut:
- Individu golongan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) / Bantuan Prihatin Rakyat (BPR); dan
- Perusahan mikro, menurut takrifan SME Corp., bagi kemudahan dengan jumlah yang diluluskan sehingga RM150,000.
- Bantuan ini akan disediakan untuk kemudahan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 yang
- Pinjaman tidak tertunggak selama lebih daripada 90 hari pada masa peminjam memohon bantuan bayaran balik.
- Peminjam B40 dan perusahaan mikro yang pernah menerima apa-apa bentuk bantuan bayaran balik bersasar yang lain, dan ingin memohon bantuan lanjutan di bawah langkah-langkah tambahan yang diumumkan pada hari ini, masih boleh berbuat demikian dengan menghubungi bank masing-masing.
*Bagi peminjam M40 yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional, yang pendapatan isi rumah mereka telah berkurang akibat pandemik, bank-bank akan menerima permohonan mereka bagi mengurangkan bayaran ansuran bulanan.
Baca juga: BPR 2021: Semakan Kelayakan Mengikut Kategori Isi Rumah / Bujang
Cara Permohonan Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar
Bagi memohon bantuan ini, peminjam yang layak hanya perlu mengikuti langkah berikut:
- Menghubungi pihak bank masing-masing
- Mengesahkan pilihan bayaran balik (berdasarkan 2 pilihan lanjutan moratorium bersasar)
- Bagi peminjam M40 yang ingin membuat permohonan, anda perlu membuat pengisytiharan (self declaration) tentang pengurangan pendapatan mereka dan / atau pendapatan isi rumah mereka untuk mempercepatkan lagi pemberian bantuan. Bank-bank akan terus menghubungi para peminjam dalam kategori ini untuk mengkaji semula keadaan kewangan mereka.
- Proses dan keperluan dokumentasi permohonan akan berbeza mengikut bank. Walau bagaimanapun, proses permohonan dijangka senang dan mudah, dengan keperluan dokumentasi yang dipermudahkan.
Bank-bank tidak memerlukan dokumen tambahan daripada peminjam untuk memberikan bantuan bayaran balik ini.
Walau bagaimanapun, bagi pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap, peminjam perlu menandatangani perjanjian baharu menurut Akta Sewa Beli 1967 dan keperluan Syariah.
Dalam kebanyakan keadaan, peminjam boleh memohon dan melengkapkan permohonan secara dalam talian atau melalui telefon.
Baca juga: 28 Jenis Skim Bantuan Zakat MAIWP Yang Boleh Dimohon. Ini Syaratnya & Cara Permohonan
Tarikh Permohonan
Kesemua bantuan bayaran balik tambahan ini akan disediakan untuk peminjam yang layak antara 23 November 2020 hingga 30 Jun 2021.
Para peminjam boleh menyatakan bantuan bayaran balik tersebut mulai 23 November 2020 melalui talian khidmat pelanggan bank-bank, perbankan dalam talian atau dengan melawat cawangan bank.
Tempoh Maksimum Memproses Permohonan
- Peminjam individu – 5 hari (termasuk Sabtu dan Ahad)
- Peminjam PKS – 14 hari (termasuk Sabtu dan Ahad)
(Jika anda merupakan peminjam individu, pihak bank akan menghubungi anda dengan keputusan dalam tempoh lima hari (termasuk Sabtu dan Ahad) dan jika anda adalah peminjam PKS, pihak bank akan menghubungi anda dengan keputusan dalam tempoh 14 hari (termasuk Sabtu dan Ahad)).
Maklumat Lanjut
Bank Negara Malaysia menggesa peminjam yang menghadapi kesukaran membuat bayaran balik pinjaman mereka untuk berhubung dengan bank masing-masing, AKPK atau BNMTELELINK untuk mengetahui pilihan yang tersedia bagi membantu mereka mengurus hutang masing-masing.
- telelink.bnm.gov.my
- [email protected]
- 1-300-88-5465
Peminjam yang menghadapi masalah dengan bank masing-masing boleh mengemukakan aduan kepada BNMTELELINK di bnm.my/RAsurvey atau ajukan terus pertanyaan melalui posting Facebook Bank Negara Malaysia di bawah ini: