KWSP Bersasar : Kerajaan Cari Alternatif Lain – PM

ISU KWSP BERSASAR

Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (Prorakyat) meminta kerajaan supaya mempertimbangkan cadangan pengeluaran wang caruman KWSP sebanyak RM30,000 sebagai langkah penyelesaian jangka pendek supaya rakyat tidak terputus perbelanjaan wang tunai.

Di media sosial juga, ruangan komen media sosial KWSP turut dihujani dengan tanda pagar #kwspbersasar.

Adakah pengeluaran KWSP masih relevan hari ini?

Berikut dikongsikan respon terkini Perdana Menteri dan penganalisis ekonomi.

Pengeluaran KWSP Bersasar, Kerajaan Cari Alternatif Lain

Nasib dan masa depan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu dipertimbangkan sebelum membenarkan sekali lagi pengeluaran khas.

Pada 16 Januari 2022, sumber media melaporkan bahawa Perdana Menteri berkata kebanyakan pencarum memiliki jumlah simpanan yang sangat kecil dan jika kerajaan membenarkan pengeluaran sekali lagi, ia akan memberikan kesan kepada masa depan pencarum itu sendiri.

Justeru tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah lebih baik kerajaan mencari kaedah dan jalan lain yang lebih berkesan bagi membantu rakyat yang terjejas serta kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik sebelum ini.

“Kalau tengok orang-orang yang simpan KWSP, duit itu sedikit sekali. Jadi saya perlu pertimbang tentang keperluan yang mendesak dan juga masa depan mereka. Terlalu kecil saya semak jumlah yang ada majoriti pencarum itu sangat kecil. Saya bimbang tentang masa depan mereka.

“Jadi lebih baik kerajaan cari jalan untuk membantu mereka,” katanya kepada pemberita.

Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat kenyataan Perdana Menteri meletakkan nasib dan masa depan rakyat sekali gus mencari jalan lain yang lebih berkesan adalah langkah rasional.

“Hakikatnya majoriti besar pencarum KWSP sudah tidak mempunyai lagi wang yang mencukupi untuk persaraan. Malah, ramai kalangan pencarum terutamanya kaum bumiputera tidak lagi mempunyai simpanan yang tinggi, hanya kurang daripada RM10,000.

“Malah, kalau kita lihat yang mempunyai caruman kurang daripada RM1,000.00 pun amat tinggi peratusannya.

“Oleh itu, inisiatif ataupun program lain harus difikirkan untuk membantu golongan ini tanpa menjejaskan caruman untuk persaraan mereka”, katanya kepada RTM.

Berhubung Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula, ia disifatkan pendekatan yang wajar dan perlu diteruskan bagi membantu golongan kurang berkemampuan, rentan dan mudah terjejas.

Bantuan seumpama itu memastikan rakyat dalam kategori berkenaan dapat meneruskan kehidupan dalam situasi peningkatan kos sara hidup yang semakin mencabar.

Sumber: Berita RTM

Baca juga:

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: