‘Bebaskan Aku’, Lagu Terbaru Luahan Yasin Di Sebalik Tirai Besi
Penyanyi Yasin Sulaiman telah menghasilkan sebuah lagu baharu ketika berada di sebalik tirai besi di Penjara Sungai Buloh.
Lagu tersebut telah dimuatnaik liriknya melalui laman sosial rasmi Instagram dan Facebook Yasin Sulaiman oleh ahli keluarga beliau.
Seperti mana tajuknya, lagu baharu berjudul ‘Bebaskan Aku’ itu mengisahkan bagaimana penyanyi tersebut mendambakan kehidupan yang bebas seperti dahulu bersama orang-orang yang tersayang.
“Yasin meminta lirik lagu ini dikongsikan dalam Instagram untuk sahabat, teman dan peminat,” tulisnya.
Melalui bait-bait lagu berkenaan, turut dimaklumkan bahawa dia baik-baik sahaja dan tidak mahu orang ramai berasa susah hati.
Difahamkan melalui kredit yang dituliskan, nama Yasin selaku komposer dan penulis lirik dan dibantu oleh Jo Tan di Klinik Penjara Sungai Buloh.
Dalam pada itu juga, turut disertakan waktu lagu tersebut ditulis iaitu pada Syawal 1443 Hijrah bersamaan dengan Mei 2022.
Sementara itu, Yasin juga terlihat dalam sebuah video takbir raya bersama YB Datuk Haji Idris Ahmad Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
https://www.facebook.com/ustazidrisahmad/videos/371838378298973/
Pada 22 April lalu, kakak kepada Yasin Sulaiman, Aminah Sulaiman memuatnaik status tentang lawatan keluarga mereka ke Penjara Sungai Buloh:
Minggu ini ayah dan abang saya Zain berkesempatan untuk melawat Yasin di Penjara Sungai Buloh. Kami dibenarkan melawat seminggu sekali (dua pelawat sahaja pada satu masa).
Yasin dilayan dengan baik oleh pengawal dan tahanan lain. Yasin dipanggil ‘abang’ kerana di usia 47 tahun Yasin jauh lebih tua dari mereka. Yasin menjadi imam untuk solat 5 waktu dan solat tarawih.
Yasin juga sedang mencipta lagu dan mengajar tahanan lain membaca Al-Qur’an. Yasin mengambil ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor dengan teratur. Yasin kadang-kadang susah tidur tetapi ubat-ubatan tersebut membantu.
Mengikut pertuduhan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah sebelum ini, Yasin didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram di sebuah unit kondominium di Kota Damansara pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati.
Sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, Yasin juga mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin di Mahkamah Sesyen.
Tertuduh didakwa menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Bagi kedua-dua prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin.
Baca juga: