Kitaran Haid: 4 Fasa Ovulasi Kena Faham Kalau Nak Tahu Waktu Subur
Untuk mengetahui sama ada haid kita normal atau tidak, kita perlu fahamkan tentang kitaran haid.
Dengan mengenali proses ovulasi, seorang wanita dapat menganggarkan tempoh subur dan tempoh tidak subur mereka setiap bulan.
Jadi, adakah anda tahu sama ada tempoh haid anda normal dan bagaimana mengiranya?
Jom fahamkan bersama.
Apakah Kitaran Haid?
Haid ialah campuran darah bersama-sama bahan daripada lapisan dalaman rahim yang luruh apabila persenyawaan tidak berlaku.
Kitaran haid adalah kitaran tetap yang dialami wanita apabila datang haid setiap bulan.
Tempoh kitaran ini dikira dari hari pertama datang haid (period) sehingga hari pertama haid pada bulan seterusnya.
Kitaran haid yang tetap bergantung pada interaksi kompleks homon antara kelenjar pituiteri, ovari dengan rahim.
Tempoh Kitaran Haid Normal
Jangkamasa atau tempoh haid yang normal bagi setiap wanita berbeza mengikut individu.
Ia biasanya antara 25 – 35 hari dan secara puratanya adalah 28 hari.
Tempoh perdarahan atau period pula berlaku selama lebih kurang 2-8 hari.
Kenapa Pentingnya Tahu Kitaran Haid?
Jika kitaran haid wanita adalah normal / tetap, maka lebih mudah untuk menentukan tempoh ovulasi atau waktu subur.
Begitu juga jika sebaliknya.
Jika haid anda tidak tetap, anda mungkin tidak mengovulasi langsung, atau tidak kerap.
Tempoh ovulasi ini boleh dijadikan salah satu cara semulajadi untuk membantu pasangan untuk hamil atau menjadi alternatif untuk mencegah / merancang kehamilan.
Untuk mengira atau menganggarkan waktu ovulasi atau waktu subur, anda juga boleh menggunakan kalkulator ovulasi.
Jadi, simpanlah rekod tarikh anda datang haid untuk memudahkan anda membuat rujukan terutamanya ketika berjumpa doktor.
4 Fasa Dalam Kitaran Haid
i) Fasa Pertama: Hari 1-5 (Tempoh Menstruasi)
Hari pertama kitaran haid anda ialah hari pertama haid anda (Hari 1).
Hari pertama ini amat penting dan seeloknya ia dicatat bagi menetukan permulaan kitaran haid seseorang.
Ketika fasa ini, hormon dalam tubuh anda menyebabkan rahim anda meruntuhkan lapisan yang dibentuk ketika kitaran haid yang terdahulu.
ii) Fasa Kedua: Hari 6-10 (Fasa Folikular/ Persediaan Ovulasi)
Apabila memasuki fasa kedua, hormon entrogen dalam tubuh wanita berada pada tahap optimum dan darah akan membentuk lapisan tebal di dinding rahim.
Hal ini berlaku kerana jika seseorang wanita itu hamil, telur yang telah disenyawakan itu akan mendapat semua nutrien dan sokongan yang diperlukan untuk membesar.
Paras estrogen yang tinggi juga biasanya dapat dilihat dengan kehadiran mukus ini yang berwarna putih keruh.
Sperma boleh berenang dengan mudah melalui mukus ini dan boleh hidup di dalamnya selama beberapa hari.
iii) Fasa Ketiga: Hari ke-14 (Waktu Subur)
Peningkatan hormon peluteinan yang mendadak berlaku pada hari ke-14 bagi kitar haid yang berlangsung selama 28 hari.
Peningkatan hormon ini menyebabkan folikel pecah dan membebaskan ovum (telur).
Ketika inilah yang dikatakan waktu subur / ovulasi.
Ovum boleh hidup sehingga 24 jam, manakala jangka hayat sperma selalunya 3-5 hari, maka hari-hari inilah dikatakan waktu paling subur dalam kitaran haid anda.
iv) Fasa Keempat: Hari 19-28 (Bersedia Untuk Kehamilan / Haid Seterusnya)
Selepas ovum dibebaskan, folikel mula menghasilkan hormon lain iaitu progesteron dan kemudian menyebabkan peningkatan estrogen yang menambahkan lagi ketebalan dinding rahim.
Sesetengah wanita akan mengalami sedikit kesakitan atau ketidakselesaan di bahagian abdomen atau perut semasa ovum ini dilepaskan daripada ovari.
Jika wanita tidak hamil, bermakna telur yang tersenyawa tidak tertanam ke dalam rahim dan kadar progesteron akan berkurang.
Rahim tidak lagi perlu mengekalkan persekitaran untuk menyokong janin, maka lapisan tebal rahim yang telah terbina mula tersisih dan tubuh anda akan melucutkannya melalui proses haid.
Jika wanita hamil pula, telur itu telah disenyawakan dan akan membenamkan dirinya ke dalam lapisan rahim itu.
Sebaik sahaja telur yang telah disenyawakan itu terbenam, tubuh akan mula menghasilkan hormon kehamilan, iaitu hCG, yang akan memastikan folikel yang kosong itu kekal aktif sehingga plasenta menjadi cukup matang untuk mengekalkan kehamilan.
Baca juga: Gula Stevia Untuk Diet & Kencing Manis, Bagus Ke? 7 Perkara Kena Fahamkan
Jika Haid Tak Teratur, Bagaimana Nak Tahu Waktu Subur?
Jika seseorang wanita mempunyai haid yang tidak teratur, anda masih berkemungkinan untuk hamil walaupun menentukan waktu subur anda mungkin lebih susah.
Menurut Majalah Sains, antara kaedah untuk menetukan waktu ovulasi adalah:
- Membuat anggaran pengiraan – Rekodkan kitaran haid anda sepanjang tahun dan lihat bilangan hari kitaran terpanjang dan terpendek. Tolak 18 daripada kitaran haid yang terpendek sebagai hari pertama waktu subur. Sementara 11 hari ditolak daripada kitaran haid terpanjang sebagai hari terakhir waktu subur. Anda akan mendapat anggaran hari pertama dan terakhir waktu subur anda
- Memeriksa lendiran serviks – Ketika ovulasi (waktu subur) lendiran pada serviks menjadi banyak, licin, jernih dan boleh likat. Ramai wanita menggambarkannya sama seperti konsistensi putih telur.
- Memantau suhu badan setiap hari – Terdapat peningkatan suhu semasa ovulasi berlaku. Ini membolehkan anda menentukan waktu ovulasi.
- Ovulation predictor kit – Menggunakan alat mengesan ovulasi. Bagi mereka yang mengalami haid tak teratur, anda mungkin perlu melakukan lebih banyak ujian setiap bulan.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Menurut BabyCenter, jika anda dan pasangan sedang merancang untuk hamil (trying to conceive) anda mungkin perlu membuat temu janji dengan doktor sekiranya:
- Anda masih belum hamil setelah setahun mencuba, walaupun aktif mengadakan hubungan seks (2-3 kali seminggu).
- Anda mengalami pendarahan di antara waktu haid, atau selepas mengadakan seks.
- Anda sudah berumur melebihi 35 tahun.
- Anda mempunyai ahli keluarga yang sukar hamil.
Jangan risau, doktor akan membuat pemeriksaan lanjut dan mungkin memberi solusi terhadap masalah yang dialami oleh anda atau pasangan.