in

Kes Buli MRSM: Punca Tonton Video Lucah, 10 Pelajar Ditamatkan Pengajian

kes buli mrsm
ADVERTISEMENT

KES BULI MRSM: TEGUR RAKAN TONTON VIDEO LUCAH PUNCA MANGSA DIPUKUL

10 pelajar MRSM yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli ditamatkan pengajiannya, kata KP MARA dalam sebuah laporan terkini oleh BERNAMA.

Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM

ADVERTISEMENT

Sementara itu, laporan terdahulu mendedahkan bahawa tindakan menegur salah seorang suspek supaya tidak menonton video lucah menjadi motif pelajar lelaki tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah (SAS) Kuala Kangsar dipukul.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketika ditemu bual polis mangsa juga memaklumkan akan mengadu kepada warden menyebabkan kumpulan terbabit berang.

“Berdasarkan temubual, mangsa memberitahu dia telah menasihati seorang daripada suspek supaya tidak menonton video lucah dan jika enggan akan melaporkan kepada guru atau warden.

“Keadaan ini telah menyebabkan enam orang suspek telah marah dan terdapat seorang pelajar tingkatan tiga yang mengarahkan enam orang suspek untuk menumbuk mangsa,” katanya.

Menurut Datuk Mior Faridalathrash, ekoran insiden tersebut polis telah menahan 10 pelajar yang terlibat untuk dirakam percakapan sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Ujar beliau, 11 buah telefon bimbit turut dirampas untuk dihantar ke bahagian forensik bagi melihat kandungan dalam peranti berkenaan.

buli mrsm

“Mangsa kini dirawat di sebuah hospital di Selangor dan keadaannya stabil tanpa kecederaan serius.

“Setakat ini dua laporan polis berkaitan kes diterima iaitu daripada pengetua sekolah dan bapa mangsa,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata, kertas siasatan kes akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk proses pendakwaan sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Polis Perak Bersama Ketua Agensi Polis Bantuan Kontinjen Perak Tahun 2021 di Dewan Agro Aman Jaya, Kompleks Perumahan Kakitangan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) Tanjung Tualang, Kampung Gajah, hari ini.

Baca juga:

Jumaat lalu, video berdurasi 10 saat tular dalam media sosial memaparkan seorang pelajar dikepung rakan-rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di bahagian perut.
Video tersebut mendapat perhatian warganet dengan rata-rata mengecam tindakan pelajar-pelajar berkenaan yang membuli mangsa.

Susulan kejadian itu, 10 pelajar lelaki melibatkan sembilan pelajar berusia 13 tahun dan seorang lagi berusia 15 tahun ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar untuk membantu siasatan.

Siasatan kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan Kerana Merusuh dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Sumber: AlHijrah Online , BERNAMA

Written by badra

Leave a Reply

Your email address will not be published.

JPJeQ: Cara Daftar Sistem Nombor Giliran Kaunter JPJ

Diskaun Saman JPJ & PDRM 80% Dilanjutkan Hingga 31 Disember 2021