Pasangan Kekasih Ditemui Maut Dalam Kereta Kancil Dipercayai Keracunan Karbon Monoksida
ALOR GAJAH: Seorang pemuda dan seorang remaja perempuan bawah umur ditemui maut dalam kereta di kompleks pentadbiran di Lubok China di sini, pagi tadi.
Polis Alor Gajah mengesahkan penemuan dua mayat dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil di hadapan Kompleks Japerun Ayer Limau oleh pekerja di Japerun, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kes itu masih disiasat pegawai penyiasat di lokasi kejadian.
“Benar (penemuan dua mayat di Japerun Ayer Limau). Pegawai penyiasat sedang menyiasat kes itu,” katanya ringkas kepada pemberita.
Dalam pada itu, Pegawai Japerun Ayer Limau yang enggan dikenali ketika dihubungi berkata, kedua-dua mayat itu ditemui kira-kira jam 7 pagi tadi.
Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang pergelutan dan unsur jenayah dan pihak polis mendapatkan maklumat awal hasil laporan orang awam.
Terkini, polis mengesyaki besar kemungkinan punca kematian adalah akibat keracunan karbon monoksida, namun belum terdapat pengesahan dan siasatan lanjut yang telah dilakukan oleh pihak pegawai perubatan forensik.
“Ini kerana tempat ini telah lama tertutup dan minyak kereta telah habis.”
“Apabila polis sampai, siasatan mendapati kereta ini dalam keadaan berselubung dengan kanvas.”
“Kita juga mendapati bahawa mayat perempuan ini sampai di lokasi ini apabila dihantar oleh kawan perempuannya pada pukul 4 petang kelmarin.”
Menurut sumber, mangsa merupakan seorang lelaki dan wanita dianggarkan berusia 16 hingga 20 tahun.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya bagaimanapun percaya tidak berlaku sebarang perbuatan sumbang dan pasangan itu dipercayai sengaja duduk di kawasan berkenaan dalam keadaan enjin kenderaan dihidupkan sebelum tertidur.
“Remaja perempuan yang berasal dari Lubok China ini masih bersekolah manakala remaja lelaki yang berasal dari Kuala Sungai Baru pula baharu menamatkan pengajian dari sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Kelantan.
Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.
Baca juga: