Minta Bantuan Zakat, Tapi Duduk Kondo Mewah….
Tular di media sosial tentang sebuah hantaran oleh Baitulmal MAIWP yang melaporkan kes Skuad Jejak Asnaf.
Difahamkan ada orang buat aduan awam. Keluarga yang memohon bantuan zakat mendakwa mereka susah, layak asnaf katanya. Maka skuad Jejak Asnaf turun siasat sebelum bagi zakat.
Bila sampai dekat rumah bakal asnaf. Rupanya sedang menyewa sebuah kondo mewah.
Hasil ‘siasatan’ netizen, kadar sewa bulanan boleh mencecah RM3K sebulan.
Ini menimbulkan tanda tanya dan perasaan terkejut pegawai Baitulmal tersebut.
Ikuti penerangan sepenuhnya di bawah:
ASNAF PERLU BERSEDIA UNTUK MENURUNKAN GAYA DAN CARA HIDUP
Bertindak atas aduan awam yang diterima, MAIWP menerusi Skuad Jejak Asnaf telah turun menjejaki sebuah keluarga yang dikatakan memerlukan kepada bantuan zakat.
Setibanya di lokasi, kami didatangi perasaan terkejut apabila melihat nilai hartanah di tempat tersebut.
Secara pratikalnya sesebuah keluarga yang sedang bergelut dengan masalah kewangan tidak akan mampu menghuni kediaman mewah sedemikian.
Kebanyakan daripada mereka memberikan alasan untuk tinggal di tempat berikut adalah disebabkan faktor keselesaan dan keselamatan keluarga selain lokasinya berdekatan dengan sekolah anak.
Hasil dapatan maklumat yang diperolehi, menyatakan mereka ini menghuni di kediaman tersebut dengan bayaran sewa secara bulanan.
Bukannya rumah pusaka mahupun menerima ehsan tinggal percuma daripada orang lain.
MAIWP menasihatkan kepada mereka di luar sana yang terkesan atau berada dalam kesempitan hidup perlu bersedia untuk menurunkan gaya dan cara hidup.
Kita seharusnya bijak menyesuaikan di antara keperluan dan juga kehendak seiring dengan kemampuan semasa.
MAIWP sentiasa ada untuk membantu bagi meringankan beban dan kesusahan hidup yang mereka alami.
Terima Kasih Pusat Pungutan Zakat MAIWP.
Terima Kasih Agihan Zakat MAIWP.
Sumber: Baitulmal MAIWP