Ibu Tinggalkan Nota Sebelum Terjun Laut Bersama Anak
Ibu, anak dikhuatiri lemas terjun laut
JOHOR BAHRU – Dua beranak dikhuatiri lemas selepas dipercayai bertindak terjun ke dalam laut dari tebing setinggi 30 kaki di Jalan Danga Bay berhampiran Country Garden semalam, 11 September 2022.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya mendapat laporan berhubung perkara itu pada pukul 5.35 petang tadi.
Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan juga telah memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa merupakan seorang wanita berusia 37 tahun dan anak lelakinya yang berusia 16 tahun. Pasangan itu dipercayai cuba membunuh diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Haizrul Rahmad memberitahu, seramai 15 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin dikejar ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, saksi memaklumkan seorang wanita dan seorang lelaki telah terjun ke dalam laut dari tebing.
“Ketinggian tebing daripada laut itu adalah 30 kaki. Operasi pencarian masih dijalankan,” tambahnya.
Nota Dijumpai Suami
Wanita yang dipercayai terjun bersama anak lelakinya itu dipercayai meninggalkan nota kepada suaminya.
Nota berkenaan ditemukan suaminya yang berusia 40-an di rumah mereka di luar daerah ini, sebelum bertindak mencari mangsa.
Walaupun tidak menyatakan lokasi tetapi pencarian suami mangsa akhirnya menemui kereta mangsa yang ditinggalkan kira-kira satu kilometer daripada selipar dua beranak itu ditemui.
“Siasatan awal menjumpai dua pasang selipar di tepi tebing belakang sebuah projek pembinaan dan disahkan milik kedua-dua mangsa.
“Kereta mangsa didapati diletakkan di parkir bahagian hadapan sebuah restoran dekat Danga Bay kira-kira satu kilometer dari selipar dijumpai,” katanya ketika sidang media di lokasi kejadian.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati punca suri rumah dan anak lelakinya terjun ke dalam laut itu dipercayai akibat masalah dalaman keluarga.
Ditanya mengenai kesihatan wanita berkenaan, Jit Huey berkata, pihaknya sudah merujuk kepada pihak hospital bagi mendapatkan laporan latar belakang atau sejarah kesihatan mangsa.
Sumber: Kosmo, Buletin TV3