Keadaan Bella Kini Bertambah Baik, Luka Semakin Pulih & Boleh Bergurau – Rina Harun

Seluruh Malaysia memberi tumpuan dan sokongan hebat ke atas seorang anak OKU yang didakwa telah didera di sebuah pusat penjagaan.

Tanda pagar #justiceforbella kini telah trending di media sosial sehingga pelbagai liputan meluas termasuk berita yang tidak tepat juga turut disebarkan.

Susulan itu, Hakim Mahkamah Sesyen memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes pengabaian dan menganiaya membabitkan remaja sindrom down dikenali sebagai Bella, yang sedang berlangsung ketika ini.

Amaran itu dikeluarkan Hakim Izralizam Sanusi selepas Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nor Azizah Mohamad memaklumkan kepada mahkamah bahawa orang ramai masih membuat hantaran di laman sosial berhubung kes tersebut seperti Justice for Bella dan ‘Justice for Bella macam mustahil di dunia ini’.

Sementara itu, Menteri KPWPM, DS Rina Harun yang sebelum ini didakwa berdiam diri dengan kes Bella telah memuat naik beberapa status terkini berhubung isu berkenaan.

Beliau turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana jarang berkongsi mengenai Bella kerana mengutamakan kesejahteraan gadis OKU tersebut.

Semalam, beliau juga telah berjumpa dengan Bella dan mengatakan bahawa keadaan Bella kini telah bertambah baik.

Ikuti perkongsian penuh status oleh DS Rina Harun di bawah:

TERIMA KASIH RAKYAT MALAYSIA
Saya sangat terharu atas sikap Keluarga Malaysia yang begitu prihatin terhadap nasib yang menimpa Adik Bella. Kita semua, termasuk saya juga mahukan pembelaan terhadap Adik Bella.
Perbicaraan kes ini sedang berjalan. Mencuri perhatian dan tumpuan ramai rakyat Malaysia.
Namun selain daripada keadilan yang dituntut apa yang paling penting bagi saya adalah kesejahteraan Adik Bella itu sendiri.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Apatah lagi bahu yang memikul hanya merupakan anak kecil yang masih tidak tahu erti sebenar kehidupan..😔😔

Kali pertama bertemu Adik Bella pada Julai 2021, kesiannya Adik Bella.
Alhamdulillah setelah 9 bulan berada di dalam jagaan kami di tempat selamat, Adik Bella sudah mula menunjukkan perubahan yang amat positif.

Adik Bella yang saya jumpa kali pertama sudah jauh berbeza dengan Adik Bella yang sekarang. Keadaan Adik Bella semakin baik. Luka di badannya juga telah kembali pulih. Keadaan emosi Adik Bella juga semakin baik sekarang ini. Sudah tersenyum riang bila berbicara. Jangan tak tahu, berat badannya juga semakin bertambah kerana mendapat pemakanan berkhasiat.

Adik Bella juga mempunyai bakat terpendam. Sangat suka mewarna dan melukis. Ini juga kami asah sebaik mungkin agar dapat mengisi ruang lapangnya.

Saya mohon maaf kerana sebelum ini saya jarang berkongsi mengenai Adik Bella 🙏🏻🙏🏻🙏🏻 Apa yang lebih penting ialah kesejahteraan Adik Bella sendiri. Sekarang dah boleh bergurau senda, melakukan pelbagai aktiviti dan bermain bersama rakan². Kami juga juga sentiasa memastikan rawatan susulan diberikan terhadap Adik Bella.

Marilah kita bersama berdoa semoga urusan perbicaraan kes Adik Bella berjalan lancar dan sempurna. Sama sama kita doakan agar Adik Bella terus berada didalam keadaan sejahtera.
Dalam masa yang sama, sebagai Keluarga Malaysia, kita perlu menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dan mendaulatkan undang-undang dengan menghormati perbicaraan. InsyaAllah segalanya akan menjadi lebih baik.

Di bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menghormati kesucian Ramadan yang penuh barakah ini.

SELAMAT MENJALANI IBADAH DI BULAN RAMADAN

Sumber: https://www.facebook.com/ds.rinamohdharun/posts/477661620713812

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: