Wanita Hina Islam & Pasangan Berjaya Kumpul Dana Awam RM40,000

Selepas 4 hari, pasangan yang didakwa menghina islam iaitu Siti Nuramira Abdullah dan teman lelaki, Alexander Navin Vijayachandran berjaya mengumpulkan RM40,000 melalui dana sumbangan awam bagi melunaskan wang ikat jamin terhadap mereka.

Peguam belanya, R Sivaraj, berkata setakat pagi ini, sebanyak RM15,000 berjaya dikumpul setakat 17 Julai semalam dan kini telah mencapai sehingga RM40,000 yang diperlukan untuk melunaskan ikat jamin.

“Ramai yang memberi sumbangan dan ada yang menawarkan untuk membayar yuran guaman Siti Nuramira Abdullah,” lapor portal dalam talian, Free Malaysia Today sebelum ini.

Menurut sebuah portal The Vibes, penjamin Siti Nuramira dan Alexander masing-masing akan pergi ke mahkamah Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pada pukul 11 ​​pagi hari ini (18 Julai).

Namun pihaknya tidak dapat memastikan sama ada kedua-dua mereka akan dibebaskan hari ini atau esok hari.

Free Malaysia Today turut melaporkan bahawa peguam belanya mendakwa bahawa ramai yang memberi sumbangan dan ada yang menawarkan untuk membayar yuran guaman Siti Nuramira Abdullah ekoran tindakan undang-undang yang dikenakan terhadapnya.

Jumaat lalu dia mendedahkan kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) akan turut membantu pasangan berkenaan dalam mendapatkan dana awam sebagai usaha untuk membebaskan mereka.

Mereka difahamkan akan menggunakan akaun bank LFL bagi mengumpulkan sumbangan dana awam tersebut.

Terdahulu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah atas tuduhan menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam apabila melakukan persembahan kontroversi di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali, membenarkan Siti Nuramira diikat jamin RM20,000 oleh seorang penjamin dan turut memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes itu.

Pada hari yang sama, Navin, 38, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Bagi pertuduhan pertama, Navin didakwa berkongsi di akaun Instagramnya pada 5 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Manakala pertuduhan kedua, dia didakwa berkongsi kandungan melalui akaun YouTubenya pada 16 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus membenarkan Navin diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 September untuk sebutan semula kes.

Berkaitan: Hina Islam: Wanita Mengaku Tidak Bersalah, Diikat Jamin RM20,000

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: