Gaji Menteri & ADUN Sabah Naik Hingga 40%, “Hanya Libatkan RM5.6 juta Setahun”
GAJI KETUA MENTERI SABAH NAIK DARI RM23,595 KEPADA RM33,033
KOTA KINABALU: Dalam kemelut ekonomi yang sedang melanda negara, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan usul untuk menaikkan saraan Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran negeri yang lain.
Menurut laporan oleh Astro Awani, Usul untuk Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 dicadangkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu telah diluluskan dengan suara terbanyak.
Dengan kelulusan itu, saraan para Menteri yang terkini adalah seperti berikut:
Ketua Menteri Sabah
RM 33,033 daripada RM 23,595
(Naik RM 9,438)
Timbalan Ketua Menteri Sabah
RM 29,221.50 daripada RM 20, 872.50
(Naik RM 8,349)
Menteri & Speaker
RM 22,869 daripada RM 16,335
(Naik RM 6,534)
Timbalan Menteri & Timbalan Speaker
RM 17,787 daripada RM 12,705
(Naik RM 5,082)
ADUN
RM 11,130 daripada RM 7,950
(Naik RM 3,180)
Setiausaha Politik
RM 7,623 daripada RM 5,445
(Naik RM 2,178)
Hajiji yang juga Menteri Kewangan Kedua Sabah ketika menggulung usul itu berkata, implikasi kewangan kerajaan negeri untuk pelaksanaan kenaikan gaji / saraan itu dilihat tidak terlalu berat dan hanya melibatkan jumlah RM5.6 juta setahun.
Katanya, pelarasan itu dilihat wajar dan apa yang penting wakil rakyat perlu terus memberi yang terbaik kepada rakyat.
“Kita mengambil inisiatif ini memandangkan keadaan yang berlaku di persekitaran kita sekarang ini walaupun kita faham mungkin di luar sana rakyat bercakap kenapa dalam keadaan sekarang dan sebagainya. Tetapi asas utama ialah untuk wakil rakyat anggota kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Kerajaan perlu ada dasar yang baik untuk memastikan taraf hidup rakyat yang ada sekarang ditingkatkan sekali gus membasmi kemiskian ini paling penting,” katanya dalam Persidangan DUN Sabah pada Selasa.
Selain itu, DUN sabah turut meluluskan usul Rang Undang-Undang Peruntukan Diraja (Pindaan) 2022 yang menaikkan Saraan Peribadi, Elaun Keraian dan Elaun Wilayah untuk Yang Dipertua Negeri Sabah.
Usul yang dibawa Hajiji itu juga diluluskan dengan suara terbanyak, dan menaikkan Saraan Peribadi daripada RM215,280 setahun kepada RM301,392; Elaun Keraian RM152,490 (RM213,486); dan Elaun Wilayah RM44,850 (RM62,790).
Gaji Menteri Sabah Naik: Undang Pelbagai Respon Di Media Sosial
Berita kenaikan gaji para menteri Sabah yang diwar-warkan di media sosial tentu sekali menimbulkan pelbagai reaksi orang awam, terutamanya di tengah-tengah kemelut inflasi dan kenaikan harga barang di negara kita.
Secara umumnya ramai yang tidak bersetuju dan berasa teraniaya dengan pengumuman ini.
Malah, begitu ramai yang berasa kecewa dengan usul tersebut kerana ia dianggap tidak sensitif dengan kesusahan rakyat ketika ini.
Tahukah anda, mengikut data tahun 2021, Negeri Sabah merupakan antara negeri yang merekodkan kadar kemiskinan paling tinggi di Malaysia?
Bahkan, negeri Sabah dan 3 negeri lain (iaitu Kelantan, Sarawak dan Perak) juga merekodkan kadar kemiskinan tegar tertinggi berbanding negeri lain.