Kisah Jimmy Savile, Selebriti Pedofil Yang Menodai Lebih 400 Mangsa

Bagi yang tidak pernah mendengar namanya, Jimmy Savile adalah bintang televisyen terkenal pada tahun 1960-an hingga 1990-an, dan dia juga merupakan seorang pemangsa seksual yang berjaya mengaburi dan menipu seluruh dunia hampir 50 tahun hingga kesnya ini terpahat dalam sejarah.

Yang paling menyedihkan hanya selepas kematiannya ketika umurnya 85 tahun iaitu pada tahun 2011, satu persatu saksi mula muncul dan membuat pendedahan terhadap perlakuan seksual yang dilakukannya selama hidupnya.

Ke mana perginya mereka selama ini? Mengapa perlu tunggu sehingga Jimmy mati baharulah mereka muncul?

Itulah persoalan yang membuat kita tertanya-tanya kan?

Siapakah Jimmy Savile?

Jimmy dilaporkan telah melakukan penderaan seksual ke atas 400 lebih kanak-kanak perempuan termasuk seorang kanak-kanak lelaki di antara umur 5-14 tahun. Malah, terdapat juga laporan yang mengatakan mangsanya berusia semuda 2 tahun.

Setelah penyiasatan dilanjutkan, lebih mengejutkan mangsa-mangsanya juga terdiri daripada kalangan wanita dewasa sehingga yang berumur 75 tahun!

Menyingkap sejarah dan latar belakang Jimmy Savile bermula dari tidak dikenali sehinggalah dikenali di seluruh dunia sebagai seorang DJ dan penghibur, malah menjadi idola dan obsesi para peminatnya melalui Top of the Pops dan rancangan kanak-kanak, Jim’ll Fix It.

Bagi yang tak mengenali Jimmy Savile, memang sukar untuk menggambarkan popularitinya pada ketika itu – Bayangkan saja pengaruhnya sebagai ahli kehormat di Gereja Katolik, selalu makan malam dengan Margaret Thatcher, Perdana Menteri ketika itu, dapat berjumpa dengan Pope, dikelilingi rakan-rakan pemuzik terkenal, mempunyai hubungan dengan Kerajaan, monarki, dan menjadi ‘orang kuat’ BBC dan NHS.

Orang ramai juga telah mengenali Jimmy kerana kerja amalnya di hospital. Ia memberi inspirasi kepada ramai bagaimana selebriti terkenal ini menghabiskan masanya untuk menghiburkan pesakit dan pekerja kakitangan yang sakit di hospital tempatan. Dia mengumpulkan berjuta-juta dolar dalam badan amal untuk menyokong institusi ini. Dia juga seorang yang kerap membawa pesakit ke sekitar hospital di Leeds. Dia mempunyai hubungan dengan lebih 50 hospital dan rumah kanak-kanak yang berbeza. Malangnya, di hospital ini adalah salah satu tempat perburuannya.

Kehidupan “glamour” nya dan hubungan dia dengan masyarakat sekeliling dan yang paling “gah” apabila dia memiliki hubungan dua hala yang cukup rapat bersama kerabat raja ketika itu sehingga mendapat anugerah “Kesatria” dengan gelaran”Sir Jimmy Savile” oleh Queen Elizabeth II pada 1990 kerana sumbangan dan jasanya ini – berhasil mengaburi dan menipu seluruh dunia hampir selama 50 tahun!

Inilah yang menjadikan mangsa-mangsa terus berdiam dan tidak mampu menyuarakan laporan terhadap jenayah seksual yang dilakukan olehnya.

Pengakuan Mangsa Direkodkan Satu Demi Satu

Sepanjang hidupnya, walaupun dia dituduh secara terbuka dan dikhabarkan sebagai pesalah seks semasa hidupnya, dakwaan mangsa terhadapnya telah ditolak.

Hanya selepas kematiannya, laporan demi laporan diterima hingga membawa tuduhan yang menggerunkan orang ramai sehingga hari ini – iaitu Operasi Yewtree, satu penyiasatan ke atas tindakan sejarah salahlaku seksual yang membawa kepada kejatuhan beberapa personaliti penyiaran dan ahli perniagaan terkenal Britain seperti Rolf Harris dan Stuart Hall.

Insiden jenayah seksual pertama yang direkodkan berlaku di Manchester pada tahun 1955, ketika dia menjadi pengurus sebuah dewan tarian.

Satu kajian oleh NSPCC, yang ditugaskan untuk BBC Panorama, mendedahkan dokumen sulit yang mengkaji penglibatan dan aksesnya di Hospital Broadmoor, di mana beberapa kes salahlaku dilaporkan.

Savile mula terlibat dengan Hospital Psikiatri Broadmoor melalui badan amal League Of Friends pada akhir 1960-an. Dia kemudiannya diberikan set kunci sendiri dan sebuah rumah di dalam perkarangan kawasan tersebut.

Trevor Smith, bekas pengurus Broadmoor dan bekas pengerusi cawangan Persatuan Pegawai Penjara, berkata dia teringat melihat Savile di hari amal hospital, bertukar ciuman untuk autograf daripada gadis muda.

Dia memberitahu program itu: “Dia (Savile) mencium gadis-gadis ini yang berusia kira-kira 13 tahun pada bibir, memegang tangannya di belakang leher mereka untuk menarik mereka ke hadapan untuk memberi mereka French Kiss.”

Salah seorang mangsa Savile yang didakwa berkata dia menjadi sasaran penghibur veteran itu pada uji bakat BBC ketika berusia 14 tahun pada 1971.

Dia berkata: “Dia cuba menenangkan saya dengan meletakkan lengannya di bahu saya dan menggosok lengan saya, dan kemudian dia memberi saya pelukan dan kemudian dia menyentuh payudara saya, dan dia mencium saya dan dia cuba memasukkan lidahnya ke dalam mulut saya.”

Selama dua tahun menjadi mangsa pedofil itu, oleh Savile di bilik persalinan Top Of The Pops di BBC, dia berkata: “Setiap kali dia melakukan perkara yang buruk dia akan melakukan perkara yang baik… dan berjanji akan mendapatkan saya seorang ejen dan mereka akan memberi peluang untuk saya membuat persembahan.”

Siapa sangka, bagaimana derma dan kerja-kerja amal yang dilakukan menjadi salah satu ‘penyelamat’ kepada Savile untuk menutup segala kerja kotor yang dilakukan.

Salah satu saksi yang dalam lingkungan umur 50 tahun tampil dalam dokumentari ini mendedahkan cara dan bagaimana Jimmy melakukan perbuatan terkutuk dan keji itu semasa kecilnya.

Memang sakit hati dan berasa begitu jijik bila mendengar pengakuan salah satu mangsanya itu!

Sehingga hari ini, terdapat sekurang-kurangnya 46 kesalahan seksual di sebuah sekolah Duncroft yang dikaitkan dengan Jimmy.

Dia dituduh merogol dan melakukan serangan seksual oleh mangsanya sepanjang tempoh 16 lawatannya ke sekolah itu.

Malah dia dibenarkan melakukan perkara yang menjijikkan kepada gadis-gadis miskin di pejabat pengetua ini. Pada masa ini, anda mungkin tertanya-tanya: Mengapa tiada apa-apa yang dilakukan mengenai perkara ini? Pengetua sekolah itu, Puan Jones mendakwa tidak tahu apa-apa mengenainya. Agak sukar dipercayai memandangkan dia dibenarkan berkeliaran di premis itu malah pernah bermalam di situ.

Sebuah dokumentari Netflix baharu Jimmy Savile: A British Horror Story mengisahkan bagaimana dia terlepas daripada jenayahnya untuk sekian lama.

**Dokumentari ini anda boleh tonton di Netflix dan hanya ada 2 episod sahaja berdurasi antara 1 jam 19 minit dan 1 jam 31 minit.

Rujukan: Mirror.co.uk, The Guardian, Nefflix

Baca juga: Kisah Salvador Ramos, Penembak Rambang Di Robb Elementary School, Texas

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: