in ,

Hukum Pakai Implantable Contact Lens, Ini Penjelasan Mufti Wilayah

ADVERTISEMENT

Kanta lengkap kini dilihat sebagai satu alternatif lain bagi menggaantikan cermin mata untuk mereka yang mempunyai rabun.

Namun ada juga dikalangan kita yang yang menggunkan kanta lengkap sebagai hiasan mata bagi tujuaan mencantikkan warna mata.

Baru-baru ini, pelbagai kaedah yang ada bagi merawat atau membantu mereka yang bermasalah dalam penglihatan seperti pembedahan lasik dan sebagainya. Namun, ada sesetengah individu tidak sesuai dengan pembedahan lasik akibat rabun yang sangat tinggi.

Oleh itu, implan kanta dalam mata atau dikenali sebagai implantable contact lens menjadi pembedahan popular bagi mereka mencari alternatif lain selain pembedahan lasik.

Implan kanta dalam mata ini adalah di mana kanta lekap ditanam di dalam mata secara kekal. Persoalannya, bolehkah seseorang individu muslim menggunakan kaedah ini untuk merawat masalah penglihatan mereka walaupun terdapat kaedah lain yang boleh digunakan seperti memakai cermin mata.

ADVERTISEMENT

Untuk mengetahui perkara ini lebih lanjut, ikuti penerangan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hukum bagi menanam kanta lekap (implantable contact lens) dalam mata di bawah ini.

Baca juga: Hukum Memakan Daging Stik Separa Mentah. Ini Penjelasan Dr. Zulkifli

SOALAN

Assalammualaikum, Saya ada masalah rabun yang teruk dan tidak selesa untuk memakai cermin mata. Namun, kaedah pembedahan lasik mata tidak sesuai bagi mereka yang rabun berkuasa tinggi. Justeru, kaedah untuk menyelesaikan rabun yang sangat tinggi adalah menanam kanta lekap pada mata saya. Persoalannya, bolehkah menanam kanta lekap pada mata yang bersifat kekal? Tambahan pula, sekarang dah ada pilihan kanta lekap yang ditanam dimata yang tiada unsur khinzir. Mohon pencerahan S.S Mufti

Ringkasan Jawapan:

Rawatan alternatif menanam kanta mata (implantable contact lens) ICL adalah dibolehkan bagi tujuan merawat rabun yang tinggi dengan memenuhi syarat-syarat berikut :

Warna contact lens yang dipilih mestilah sama dengan warna asal kanta mata.
Tidak mendatangkan sebarang kesan mudarat.
Memastikan memilih sumber bahan yang suci namun haram memilih ICL yang terdapat unsur najis khinzir kerana bukan kategori darurat.

Huraian Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Implantable Contact Lens / Implantable Colamer Lens

Kanta lekap yang diimplan ke dalam mata adalah lensa buatan yang ditanamkan di antara iris dengan lensa semula jadi mata dan berfungsi memberikan penglihatan berkualiti tinggi. Kaedah ini sangat sesuai pada pesakit tertentu yang tidak sesuai untuk operasi pembiasan laser seperti lasik .[1] Satu kelebihan penting ialah ICL boleh membaiki penglihatan secara kekal dan boleh dikeluarkan dan atau diganti apabila perlu.[2]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Adakah boleh merawat rabun mata yang berkuasa tinggi dengan cara menanam kanta lekap yang bersifat kekal?

Pada asasnya Allah SWT melarang mengubah ciptaan-Nya yang bersifat kekal hanya semata-mata untuk kecantikan tanpa hajat yang mendesak dan keperluan perubatan. Ini berdasarkan riwayat Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: Allah SWT melaknat wanita-wanita yang melukis tatu dan wanita-wanita yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu kening dan wanita -wanita yang meminta mencukur bulu kening dan wanita-wanita yang menjarangkan (renggang) gigi untuk kecantikan yang mana ia merubah ciptaan Allah SWT.

Riwayat Muslim (2125)

Imam al-Nawawi menyatakan makna perkataan “ li husni” sebagai sebagai isyarat kepada hukum haram bagi tujuan menzahirkan kecantikan (Rujuk al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim,14/107). Adapun jika ianya dilakukan kerana keperluan perubatan maka diharuskan (Rujuk Fath al-Bari, 10/372-373)

Usaha mendapatkan rawatan amat dituntut oleh agama. Sabda Nabi Muhammad bersabda :

عن ابي هريرة رضى الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Allah tidak akan menurunkan sesuatu penyakit melainkan Dia akan menurunkan ubatnya”.

Riwayat al-Bukhari (5678)

Imam Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadis ini dengan menyatakan bahawa harus mendapatkan rawatan bagi mengubati penyakit, selain menunujukkan isyarat semua kesembuhan dengan izin Allah SWT. (Rujuk: A’lam al-Hadis Syarh Sahih al-Bukhari, 2104).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan Kanta ICL (Implantable Collamer Lens) Untuk Rawatan Mata. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

“ Muzakarah berpandangan bahawa Islam amat menekankan penjagaan kesihatan tubuh badan sebagai salah satu prinsip dalam maqasid Syariah. Walaubagaimanapun, penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit adalah dilarang. Namun begitu, dalam keadaan-keadaan darurat atau terpaksa, terdapat kelonggaran yang diberikan dalam pengharaman ini demi untuk menghilangkan kesakitan dari tubuh badan. Dalam isu rawatan ICL ini, memandangkan penggunaannya bukan dalam keadaan dharurah dan umat Islam mempunyai banyak alternatif lain yang tidak meragukan dari aspek Syarak, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum menggunakan kanta ICL (Implantable Collamer Lens) untuk rawatan mata yang diperbuat dari bahan kolagen khinzir adalah tidak diharuskan.[3]

Permanent Contact Lenses | Implantable Contact Lens NYC New York | Diamond  Vision

Justeru itu, sekiranya terdapat pilihan kanta lekap ICL (Implantable Contact Lens) daripada bahan-bahan yang halal, maka diharuskan menanam kanta ICL atas tujuan rawatan alternatif merawat rabun yang teruk.

Sementara itu, berkaitan memakai kanta lekap warna adalah tidak digalakkan kerana unsur penipuan, merubah ciptaan Allah, menunjuk-nunjuk serta bermegah-megah mahupun unsur tasyabbuh (menyerupai) dengan kanta warna mata binatang. Perbahasan lanjut berkaitan kanta warna, rujuk perbahasan pada pautan artikel berikut :

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 144 : HUKUM MEMAKAI KANTA LEKAP BEWARNA (https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1857-irsyad-al-fatwa-ke-143-hukum-memakai-kanta-lekap-contact-lens-berwarna)

Penutup

Rawatan alternatif menanam kanta lekap (implantable contact lens) untuk memudahkan penglihatan yang lebih jelas bagi mereka yang rabun berkuasa tinggi tanpa perlu memakai cermin mata.

Justeru,hukum rawatan alternatif menanam kanta lekap (implantable contact lens) bersifat kekal di mata bagi keperluan merawat adalah dibolehkan untuk mengatasi rabun yang tinggi dengan syarat-syarat memilih warna contact lens yang sama dengan warna asal kanta mata, memastikan pemilihan kanta lekap yang tiada unsur najis seperti khinzir dan tidak memberi kesan mudarat pada mata.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Baca juga: Apa Hukum Letak Pokok Dalam Tandas? Ini Penjelasannya

Written by aisyah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pendapatan Isi Rumah Malaysia Dianggarkan Cecah RM10,000 Sebulan, Pada Tahun 2025

lupa kata laluan bpr

Lupa Kata Laluan BPR? Ini Cara Set Semula Password Jika Akaun Disekat