Normalkah Kalau Gigi Kanak-kanak Jarang? Ini Penjelasan Doktor Gigi

Mungkin ada antara kita yang perasan dan tertanya-tanya kenapa gigi anak semakin jarang apabila dia meningkat usia sekitar 4-6 tahun.

Adakah ini normal?

Apakah ia memerlukan sebarang rawatan pada masa hadapan?

Ini penjelasan Dr Khairul Izwan tentang fenomena ini.

Baca juga: 5 Petua Rawatan Pertumbuhan Gigi Bongsu Yang Memeritkan!

Kenapa Gigi Anak Jarang?

Tahukah anda, adalah normal dan biasa bagi gigi susu untuk tumbuh sedikit jarang dan menjadi semakin jarang di kalangan kanak-kanak yang berumur antara 4-6 tahun?

Ini kerana, semakin meningkatnya usia kanak-kanak, rahang mereka juga akan semakin membesar dan berkembang selari dengan proses tumbesaran kanak-kanak tersebut.

Fenomena ini penting bagi menyediakan ruang yang secukupnya untuk gigi kekal tumbuh kerana saiz dan ukuran gigi kekal adalah lebih besar berbanding dengan saiz gigi susu.

Sekiranya ruang pada rahang untuk gigi kekal tumbuh tidak mencukupi, maka risiko untuk gigi kekal menjadi berlapis (crowded) adalah agak tinggi.

Selain itu, gigi susu yang tumbuh jarang ini juga memberikan kelebihan kerana ianya lebih mudah dibersihkan seterusnya mengurangkan risiko terjadinya kerosakan terutama di bahagian celah-celah gigi.

Oleh itu, kepada ibu bapa semua janganlah panik dan risau jika melihat gigi susu anak-anak anda tumbuh jarang malah ianya adalah petanda yang baik bagi mengurangkan risiko gigi kekal anak anda nanti tumbuh berlapis.

Ianya tidak ada kaitan dengan kekurangan kalsium sama sekali.

Keadaan ini juga tidak memerlukan sebarang rawatan seperti pemakaian braces atau secara tampalan bagi merapatkan gigi susu tersebut.

Baca juga: Nak Pakai Braces? Ini Harga, Tips & Prosedur Pendakap Gigi Di Malaysia

Tindakan Yang Perlu Dilakukan Oleh Ibu Bapa

Apa yang perlu dilakukan oleh anda sebagai ibu bapa adalah dengan:

  • Membantu anak anda memberus gigi mereka setiap hari sekurang-kurangnya 2 kali menggunakan ubat gigi berfluorida.
  • Membawa anak ke klinik pergigian untuk pemeriksaan secara berkala setiap 3-6 bulan sekali.

Semoga bermanfaat!

Sumber asal oleh: Dr Mohd Khairul Izwan

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: