260,000 Vaksin AstraZeneca Habis Ditempah Dalam Masa 3 Jam
Seperti diumumkan sebelum ini, JKJAV memberi pilihan kepada sesiapa yang ingin mengambil vaksin AstraZeneca (AZ). Tempahan slot vaksinasi itu boleh dibuat mulai 12 tengah hari tadi, bersamaan 2 Mei di vaksincovid.gov.my.
Walaupun terdapat kebimbangan segelintir rakyat terhadap risiko / komplikasi pembekuan darah yang dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca, namun rakyat Malaysia tetap percaya dengan keberkesanan vaksin ini.
Ini terbukti dengan 260,000 slot yang habis ditempah dalam masa kurang dari 4 jam sejak ia dibuka sebentar tadi.
Pendaftaran terbuka kepada mereka yang sudah mendaftar untuk vaksinasi sebelum ini dan anda kini hanya perlu memilih Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta tarikh yang tertera.
Setelah memilih PPV dan tarikh, anda akan dimaklumkan tentang slot vaksinasi anda sama ada melalui MySejahtera atau SMS.
PPV yang terlibat untuk pemberian vaksin AZ adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam.
Ini merupakan satu-satunya cara untuk anda menempah slot vaksinasi AZ. Berita atau khabar angin kononnya segelintir hospital sedang mengambil tempahan slot AZ adalah tidak benar.
Pemberian imunisasi AstraZeneca bermula Rabu, 5 Mei.