Bubuh Garam Lepas Tutup Api, Bukan Masa Memasak. Ini Sebabnya – KKM
KHASIAT GARAM IODIN YANG PERLU KITA TAHU
Anda biasa letak garam ketika memasak⁉️
Garam disaran untuk diletak sejurus selepas api masakan ditutup bagi menghalang iodin dalam garam daripada meruap disebabkan suhu yang tinggi.
Ia juga salah satu tip untuk mengelakkan penggunaan garam yang berlebihan semasa memasak.
Jangan terkejut rupanya hanya dengan SEDIKIT garam sahaja boleh memberi ‘rasa’ kepada masakan anda.
Jom cuba dulu baru tahu!
Apakah Garam Beriodin?
Pengiodinan Garam Secara Universal (Universal Salt Iodization, USI) merupakan strategi utama yang telah dicadangkan oleh WHO, UNICEF dan ICCIDD (2007) dalam menghapuskan masalah gangguan akibat kekurangan iodin (Iodine Deficiency Disorder, IDD) di peringkat populasi.
Ia dilaksanakan dengan menambah zat iodin ke dalam garam yang dijual dan dipasarkan kepada masyarakat secara menyeluruh. Sehubungan itu, pada November 2018, seluruh Malaysia telah diwartakan untuk menggunakan garam beriodin secara mandatori bagi kegunaan isi rumah dan akan mula berkuatkuasa mulai 30 September 2020.
Garam kegunaan isi rumah dipilih sebagai medium untuk melaksanakan proses pengiodinan kerana:
- Bahan makanan asas yang digunakan oleh hampir setiap lapisan masyarakat tanpa mengira status ekonomi.
- Kos pengiodinan garam adalah lebih murah berbanding kos fortifikasi makanan yang lain.
- Penambahan iodin tidak memberi apa-apa perubahan kepada rupa, rasa dan bau apabila digunakan dalam masakan.
Pengiodinan garam ini juga telah mengambil kira strategi pengurangan garam Malaysia iaitu menyarankan penggunaan garam beriodin tidak melebihi 5 gram (1 sudu teh) sehari selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Khasiat & Kepentingan Garam Iodin
Iodin merupakan zat makanan yang diperlukan oleh tubuh badan manusia dalam kuantiti yang sedikit namun peranannya penting dalam proses sintesis hormon tiroid di kelenjar tiroid.
Hormon ini bertanggungjawab dalam pertumbuhan, perkembangan dan kawalan proses metabolisma badan manusia di semua peringkat usia.
Baca juga : Fungsi Baru MySejahtera – Daftar Vaksin Untuk Tanggungan
Malah, keperluan zat iodin meningkat sebaik saja hamil.
Zat iodin adalah penting dalam pembentukan otak janin terutama bagi perkembangan otak serta fungsi saraf selain bertujuan mencegah wanita hamil daripada masalah goiter dan hipotirodisme.
Memandangkan zat iodin tidak boleh dihasilkan sendiri oleh tubuh badan, maka penting untuk kita memastikan kita mendapatkannya daripada makanan, dan salah satu sumbernya adalah daripada garam.
Cara Memasak Menggunakan Garam Iodin
Untuk memasak makanan menggunakan garam iodin, caranya adalah seperti langkah di bawah:
- Masak lauk kegemaran anda seperti biasa,
- Kemudian perasakan makanan dengan garam beriodin selepas menutup api masakan.
- Tutup periuk atau bekas makanan sebagai langkah mengurangkan iodin meruap.
Untuk menyimpan garam beriodin juga, anda disarankan untuk mengikuti kaedah di bawah agar zat iodin dapat dikekalkan.
*Sumber: http://nutrition.moh.gov.my/universal-salt-iodization-usi/