Fenomena Super Full Moon Di Malaysia Hari Ini, 13 Julai 2022
Rakyat negara ini sekali lagi akan berpeluang menyaksikan fenomena Super Full Moon atau kedudukan bulan paling hampir ke bumi pada jam 5.09 petang ini, 13 Julai 2022.
Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), menerusi portal rasmi, hari ini, memaklumkan fenomena itu terjadi berikutan kedudukan bulan berada paling hampir dengan bumi atau disebut sebagai perigee dengan jarak adalah 357,263 kilometer (km).
Berikut dikongsikan lebih lanjut tenang fenomena Super Full Moon di Malaysia untuk rujukan bersama.
Apakah Fenomena Super Full Moon?
Bulan beredar mengelilingi bumi dalam orbit dengan purata nilai keeksentrikan 0.0549. Oleh itu, purata jarak bulan dari bumi (pusat ke pusat) adalah berbeza pada setiap masa dengan jarak purata paling dekat (perigee) adalah 363,396 kilometer (km) dan jarak purata paling jauh (disebut sebagai apogee) adalah 405,504 km.
Semasa “Supermoon”, Bulan Penuh boleh kelihatan sehingga 7% lebih besar daripada Bulan Penuh biasa dan kelihatan 14% lebih besar dan 30% lebih cerah daripada ‘Micromoon’.
(Lihat infografik)
Apabila Bulan Penuh atau Bulan Baru berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Bumi (perigee), ia dikenali sebagai “Supermoon, Super Full Moon atau Super New Moon”.
Manakala apabila Bulan Penuh atau Bulan Baru berada pada kedudukan yang paling jauh dengan Bumi (apogee), ia dikenali sebagai “Micromoon, Minimoon, Mini Full Moon atau Mini New Moon.
NOTA KAKI:
- Keeksentrikan atau Eccentricity adalah ukuran pemanjangan sesebuah elips. Nilai keeksentrikan 0 menunjukkan orbit bulatan sempurna manakala nilai antara 0 dan 1 menunjukkan orbit elips.
- Saiz Ketara atau Apparent Size adalah saiz sesebuah objek kelihatan di langit, seperti Matahari dan Bulan di langit yang kelihatan seperti mempunyai saiz yang sama.
Fenomena Super Full Moon telah berlaku pada 14 Jun lalu dan imej berjaya dirakam sistem Teleskop Observatori Negara Langkawi.
Baca juga: