Doa Dapat Jodoh Yang Baik (Untuk Pasangan Lelaki & Perempuan)
5 Contoh Doa Dapat Jodoh Yang Baik Untuk Lelaki & Perempuan
Rezeki, ajal dan termasuklah jodoh merupakan rahsia Allah.
Sebagai manusia kita boleh berusaha untuk, namun akhirnya hanya Allah sahajalah yang boleh menentukan yang terbaik buat kita.
Mungkin sesetengah daripada kita yang masih bujang ini sudah ikhtiar pelbagai cara untuk mencari peneman hidup, namun masih belum menemukan jodoh yang sesuai.
Sekiranya anda sudah cuba pelbagai cara, sudah tiba masanya untuk menyerahkan semuanya kepada Allah dengan berdoa.
Doa juga merupakan senjata yang paling kuat buat umat Islam.
Jom amalkan beberapa doa-doa pilihan untuk cepat mendapatan jodoh yang diinginkan.
Doa Mohon Dapat Jodoh / Pasangan Yang Baik (Sumber Daripada Al-Quran)
Al-Quran diturunkan bukan sahaja untuk dijadikan petunjuk bagi pembacanya, malah ia juga terkandung banyak doa-doa yang baik untuk diamalkan termasuklah doa untuk mendapat jodoh.
Antara doa yang boleh diamalkan untuk mendapat jodoh adalah melalui petikan ayat dari surah-surah berikut :
1. Surah Al-Anbiya ayat 89
Potongan ayat ini juga terkenal sebagai doa Nabi Zakaria.
رَبِّ لَا تَذَرْنِيْ فَرْدًا وَ أَنْتَ خَيْرُ الْوَارِثِيْنَ
Bacaan rumi: Rabbi la tazarni fardan wa anta khairul warisin
Maksudnya: “Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku hidup seorang diri (tanpa keturunan) dan Engkaulah Pewaris yang terbaik.”
2. Surah Al-Furqan, ayat 74
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Bacaan Rumi : “Rabbana hablana min azwajina wa zurriyatina qurrota a’yuniu waj’alna lil muttaqina imama”
Maksudnya: “..Ya Tuhan, anugerahkan kepada kami isteri dan zuriat yang menyejukkan (hati) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertaqwa..”
3. Surah al-Qasas ayat 24
Potongan ayat ini juga lebih dikenali sebagai doa yang sering diamalkan oleh Nabi Musa a.s bagi memohon rezeki.
رَبِّ إِنِّيْ لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرِ فَقِيْرٌ
Bacaan Rumi : “ Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”
Maksudnya: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan suatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.
4. Doa Memohon Bertemu Jodoh Oleh Almarhum Tn Guru Dr Harun Din
Mudah-mudahan dipermudahkan urusan, ditemukan dengan jodoh yang baik, sudi menerima segala kekurangan kita, dapat memimpin kita ke syurga, menjadi ibu dan ayah yang baik untuk anak-anak kelak insya Allah, Amin.
Nota: Doa ini ada dalam Buku Ruqyah Asas Pengubatan Islam Darussyifa, pimpinan Al-Marhum Tuan Guru Datuk Dr. Haron Din.
*Sumber: Pejabat Agama Daerah Pendang, Kedah
Doa Cepat Dapat Jodoh untuk Lelaki
Untuk para lelaki yang masih bujang, bolehlah amalkan doa ini dan niatkan dalam hati untuk dapatkan isteri terbaik buat pendamping hidup.
رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ زَوْجَةً طَيِّبَةً أَخْطُبُهَا وَأَتَزَوَّجُ بِهَا وَتَكُوْنُ صَاحِبَةً لِى فِى الدِّيْنِ وَالدُنْيَا وَالْأَخِرَةِ
Bacaan Rumi : “Robbi hablii milladunka zaujatan thoyyibah akhtubuhaa wa atazawwaju biha watakunu shoohibatan lii fiddiini waddunyaa wal aakhiroh.”
Maksud : “Ya Rabb, berikanlah kepadaku isteri yang terbaik dari sisi-Mu, isteri yang aku lamar dan nikahi dan isteri yang menjadi sahabatku dalam urusan agama, urusan dunia dan akhirat.”
Doa Cepat Dapat Jodoh Untuk Wanita
Khas buat para wanita, anda boleh amalkan juga doa ini sebagai usaha untuk mendapatkan bakal suami yang soleh dan terbaik.
رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ زَوْجًا طَيِّبًا وَيَكُوْنُ صَاحِبًا لِى فِى الدِّيْنِ وَالدُنْيَا وَالْأَخِرَة
Bacaan Rumi : “Robbi hablii milladunka zaujan thoyyiban, wayakuuna shoohiban, lii fiddiini waddunyaa wal aakhiroh.”
Maksudnya : “Ya Rabb, berikanlah kepadaku suami yang terbaik dari sisi-Mu, suami yang juga menjadi sahabatku dalam urusan agama, urusan dunia dan akhirat.”
Di samping mengamalkan doa khas untuk mendapatkan jodoh, anda juga perlu membaiki hubungan dengan Allah dengan cara perbanyakkan solat tahajud, segerakan solat lima waktu, banyakkan bersedekah, amalan sunah dan baiki peribadi diri.
Dengan beristiqamah dalam melakukan amalan baik, Allah pasti akan meredhai hamba-Nya dan pasti akan memberikan yang terbaik untuk hidup dan doa juga lebih mudah termakbul.
Baca juga: Doa Elak Wabak Penyakit, Dihindari Bala & Mudarat (Sumber JAKIM & Mufti)
Jangan Putus Asa & Sentiasa Bersangka Baik Dengan Allah
Seiring dengan usia kita yang semakin menganjak dewasa, kita juga pasti ada keinginan untuk berkahwin dan berkongsi hidup dengan orang yang boleh membahagiakan kita.
Apatah lagi apabila melihat rakan sebaya yang sudah berkahwin dan dikurniakan cahaya mata.
Sentiasalah bersangka baik dengan aturan Allah dan sematkan kepercayaan dalam diri yang Allah pasti akan mendatangkan jodoh yang terbaik tepat pada waktunya.
Janganlah mudah berputus asa dan serahkan semuanya urusan kepada Allah setelah berusaha.