Doa Elak Wabak Penyakit, Dihindari Bala & Mudarat (Sumber JAKIM & Mufti)
Ayat Zikir Dan Doa Elak Wabak Penyakit, Tolak Bala, & Mudarat
Hari demi hari, kes positif COVID19 semakin meningkat dan ramai yang semakin risau – terutamanya bagi individu yang mempunyai ahli keluarga terdekat atau tinggal serumah dengan mereka dikategorikan berisiko tinggi seperti warga emas, pesakit kronik, kanak-kanak dan ibu hamil.
Sebagai umat Islam, di samping berusaha membendung penyakit dengan mengamalkan SOP yang ditetapkan, kita juga dituntut untuk berdoa dan memohon pertolongan daripada Allah.
Doa adalah senjata bagi orang mukmin.
Doa memberikan kita pahala dan kebaikan kerana ia merupakan satu bentuk hakikat kebergantungan kepada Allah SWT.
Mari kita berikhtiar dan mengamalkan doa elak wabak dan memohon perlindungan seperti di bawah ini:
Doa Elak Wabak, Penyakit & Bala
1. Istighfar
Lazimnya lafaz istighfar itu diungkapkan sebagai zikir untuk memohon keampunan kepada Allah. Ia juga dilafazkan selepas kita tersedar daripada melakukan dosa. Namun, manfaat istighfar lebih jauh daripada itu.
Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup dan jadikan setiap kegundah-gulanaan menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)
Lafaz isitighfar yang mudah untuk kita baca dan amal setiap hari antaranya:
ٱسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيْمَ
(Astaghfirullahal ‘azim)
“Aku memohon ampun daripada Allah Yang Maha Agung“
ATAU lafaz yang lebih lengkap:
ٱسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيْمَ مِنْ كُلِّ ذَنْبٍ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ
(Astaghfirullahal ‘azim, min kulli dzanbin wa atuubu ilaih)
Maksudnya: “Aku memohon ampun daripada Allah Yang Maha Agung dari segala dosa dan aku bertaubat kepadaNya.”
Hadis Abu Hurairah r.a, riwayat al-Bukhari (no 6307).
2. Surah Al-Fatihah
Surah yang biasa kita baca dan semua umat Islam tentu hafal ini mempunyai 1001 manfaat yang mungkin kita tak pernah tahu.
Antaranya ialah sebagai penawar dan pelindung daripada penyakit, seperti mana Abdul Malik Bin Umair r.a meriwayatkan (secara mursal), nabi saw bersabda : “Dalam surah al-Fatihah adanya penawar untuk segala penyakit.” (HR ad-Darimi & al-Baihaqi)
Disebutkan juga sebuah kisah sahabat nabi Abu Sa’id al-Khudri meruqyah penghulu sebuah kampung yang disengat binatang berbisa lalu sembuh seperti sediakala.
(HR Muslim No 5863)
Oleh sebab itu, jangan lupa baca Al-Fatihah sebelum tidur ya!
Baca juga: Cara Semak Tarikh Lahir Mengikut Kalendar Islam (JAKIM)
3. Surah 3 Qul (Surah al-ikhlas, al-Falaq & an-Nas)
Selain membaca Al-Fatihah, amalan membaca 3 Qul sebelum tidur dan dihembuskan pada tapak tangan lalu disapu pada seluruh tubuh baginda. (HR Bukhari)
Surah-surah ini sendiri digelar sebagai al-Mu’awwizaat (المعوذات) bermaksud utk ‘minta perlindungan’ dan ia dianjur untuk dibaca setiap kali lepas solat fardhu. (HR Abu Daud No 1523).
4. Doa Elak Mudarat
Hadis drpd Usman Bin ‘Affan r.a, riwayat Abu Daud (No 5088) :
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
(Bismillahilladzi laa yadhurru ma’as mihi syai’un fil ardhi, walaa fis samaa’i, wahu was samii’ul ‘aliim)
Maksudnya : “Dengan nama Allah yg dgn nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
5. Doa Memohon Perlindungan
Menurut Hh drpd Abu Hurairah r.a, riwayat Muslim (No 2709), sesiapa yang membaca lafaz ini 3 kali di waktu pagi dan petang, tidak akan ditimpa bala dan kemudharatan.
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
(A’udzu bikalimaatillahit taammaati min syarrima kholaq)
Maksudnya : “Aku berlindung dgn kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada segala kejahatan yang Dia cipta.”
6. Doa Memohon Keselamatan (Afiyah)
Doa ini bermaksud untuk menyelamatkan kita daripada sebarang kesusahan, menjadi sihat, mempunyai wang yang cukup, raih kehidupan yang diredhai, anak-anak kita dilindungi dan jika kita sudah diampuni dan tidak dihukum, kita juga berada dalam ‘afiyah.
Jadi, pada asasnya ‘Afiyah bermaksud: “Ya Allah, lindungilah aku daripada apa-apa kesakitan dan penderitaan.” Ini termasuk di dunia dan akhirat. Ayuh kita amalkan doa hebat ini!
Nabi tak tinggal baca doa ini setiap pagi dan petang.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
(Allahumma inni as alukal ‘afiyata fid dunya wal akhirah)
Maksudnya : “Ya Allah aku memohon kepadaMu keafiyatan (keselamatan) di dunia dan akhirat”.
Hadis daripada Ibn Umar r.a, riwayat Abu Daud (No 5074)
7. Doa Elak Penyakit Dan Wabak
Berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik r.a, riwayat Abu Daud (No 1554) :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
(Allahumma inni a’udzu bika minal barasi, wal junuuni, wal juzaam, wa min sayyi il asqaam)
Maksudnya : “Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan dari penyakit-penyakit yang buruk”.
8. Doa Berserah Diri Kepada Allah
Ayat al-Quran Surah Ali ‘Imran ayat 173 dan al-Anfal ayat 40 :
حَسْبُنَا اللَّه وَنِعْمَ الْوَكِيْل، نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْر
(Hasbunallahi wa ni’mal wakiil, wa ni’mal maula wa ni’ man nasiir)
Maksudnya : “Cukuplah Allah bagi kami dan Dialah sebaik-baik Penjaga urusan, sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong bagi kami.”
NOTA: Nabi Ibrahim AS membacakan ayat ini ketika dicampakkan ke dalam api oleh Raja Namrud (Sahih Bukhari no 4563 dari Ibnu ‘Abbas)
Baca juga: Niat Puasa 6 Syawal & Hukum Gabung Puasa Ganti (Qadha’) Serentak
Ayuh, Amalkan Bersama!
Kehidupan kita penuh dengan ujian dan dugaan, sama ada positif atau negatif. Kita manusia tidak memiliki daya dan upaya selain mengharap pertolongan-Nya.
Begitu juga ketidakupayaan kita untuk menolak sesuatu musibah.
Oleh itu, marilah kita panjatkan doa elak wabak penyakit dan memohon kepada Allah agar dilepaskan daripada ujian ini.