Diet Suku Suku Separuh KKM & Contoh Menu Untuk Dicuba

CONTOH MENU / RESEPI DIET SUKU-SUKU SEPARUH KKM

Tahun baru sudah semakin dekat. Pasti ramai yang memasang azam untuk mendapatkan berat badan yang lebih ideal pada tahun 2022.

Apa kata anda cuba Diet Suku-Suku Separuh untuk membantu anda mengurangkan berat badan dan makan dengan lebih sihat ?

Apa Itu Diet Suku-Suku Separuh ?

Diet ini menggunakan teknik pembahagian makanan kepada tiga jenis makanan. Separuh bahagian ialah sayur atau buah-buahan, manakala lagi dua sukatan suku ialah karbohidrat dan protein.

Konsep diet ini dikatakan sangat baik dan sesuai untuk semua tidak kiralah seseorang itu ingin mulakan diet kerana ingin turun berat badan atau ingin mengelak penyakit.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesyorkan corak pemakanan diet suku- suku separuh kerana ia dapat mengelakkan masalah obesiti yang boleh menyumbang kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases) seperti kencing manis, penyakit jantung dan kolesterol tinggi.

Berdasarkan statistik daripada KKM, penyakit-penyakit dalam kategori ini juga  menyumbang sehingga 73% punca kematian rakyat Malaysia.

Ia merupakan peratusan yang amat membimbangkan ditambah lagi dengan data penduduk Malaysia yang mencatatkan berat badan berlebihan tertinggi berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara !

Baca Juga : Cara Kira Kalori Makanan Harian Untuk Diet (Lelaki & Perempuan)

Panduan KKM Untuk Pemakanan Cara Diet Suku-Suku Separuh

Melalui pengalaman ramai orang yang telah mencuba diet ini, kawalan portion makanan dan melebihkan sayur-sayuran serta buah-buahan tinggi nutrisi sangat membantu dalam mengurangkan berat badan.

KKM turut mengesyorkan amalan diet suku-suku separuh dengan memperkenalkan Pinggan Sihat Malaysia iaitu konsep sama yang memerlukan seseorang membahagikan pinggan kepada 3 bahagian seperti berikut :

1. Bayangkan 3 bahagian pada pinggan

Bayangkan satu garisan di tengah-tengah pinggan. Kemudian, bahagikan lagi kepada dua bahagian untuk mendapatkan 3 bahagian pinggan.

2. Isi Bahagian Suku Pertama Dengan Karbohidrat

Bahagian suku pertama pinggan perlu diisi dengan karbohidrat. Lebih baik jika ia diisi dengan karbohidrat kompleks atau bijirin penuh seperti beras perang, roti bijirin penuh atau oat.

Bijirin penuh membekalkan khasiat penting untuk tubuh badan seperti serat, vitamin dan mineral penting.

Ia juga membantu dalam mengurangkan masalah sembelit dan meningkatkan rasa kenyang bagi membantu anda menguruskan berat badan dengan lebih baik.

3. Isikan Bahagian Suku Kedua Dengan Protein Sihat

Isikan bahagian suku kedua pinggan daripada salah satu sumber protein sama ada protein haiwan seperti ikan, daging atau ayam atau protein tumbuh-tumbuhan seperti kekacang, tempe dan tauhu.

Pilih protein yang kurang kandungan lemak. Anda juga digalakkan untuk mengambil ikan seperti kembung dan tenggiri yang kaya dengan lemak omega 3 yang penting untuk kesihatan jantung.

4. Isi Bahagian Separuh Pinggan Dengan Sayur dan Tambah 1 Sajian Buah

Isikan bahagian terakhir dengan sayur. Anda boleh variasikan hidangan sayur seperti berikut :

  • Sayur berdaun hijau : bayam, kangkung, salad
  • Sayur berwarna : bayam merah, kobis ungu
  • Sayur buah : kundur, tomato, petola, timun
  • Sayur kekacang : kacang panjang, kacang buncis
  • Ulam-ulaman : pegaga, ulam raja

Pastikan sayur disediakan dengan kaedah masakan yang sihat seperti mengukus, mencelur dan menggoreng kilas (stir-fry)

Anda juga digalakkan untuk mengambil buah seperti betik, pisang, jambu batu, tembikai susu dan mangga dalam diet harian.

5. Lengkapkan Hidangan Dengan Air Kosong atau Minuman Tanpa Gula

Bagi memastikan anda tidak mengambil kalori berlebihan, anda sangat digalakkan untuk mengambilan air kosong bagi menggantikan air bergula.

Bagi melengkapi keperluan tubuh badan, anda juga perlu minum sekurang-kurangnya 6 ke 8 gelas air kosong sehari.

Selain itu, anda juga boleh minum susu rendah lemak, susu skim atau minuman kacang soya bagi memenuhi keperluan kalsium dan vitamin penting seperti vitamin A dan roboflavin.

Contoh Menu Hidangan Menu Diet Suku Suku Separuh

Antara hidangan suku-suku separuh yang anda boleh cuba adalah seperti berikut.

Anda boleh tengok banyak lagi idea hidangan dalam Facebook Diet Suku-Suku Separuh !

diet suku suku separuh
diet suku suku separuh
diet suku suku separuh
diet suku-suku separuh
diet suku suku separuh

Confirm anda juga akan lebih bersemangat melihatkan ramai orang berjaya menjadi lebih sihat dan kurus dengan jayanya.

Berapa Hidangan Boleh Ambil Sehari?

Diet tidak semestinya anda perlu hadkan makan sehingga terseksa. Untuk mendapatkan berat badan yang sihat, anda tidak perlu skip waktu makan. Tabiat skip makan boleh meningkatkan lagi rasa craving pada makanan yang tinggi kandungan gula, garam dan lemak.

KKM juga menyarankan pengambilan 3 hidangan utama pada waktu yang tetap setiap hari iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

Jika perlu, anda juga boleh ambil 1 hingga 2 snek sihat.

Ini adalah penting bagi :

  • Memastikan pengambilan tenaga mencukupi untuk anda lakukan aktiviti harian dan dapat fokus dengan lebih baik.
  • Memastikan anda mendapat nutrien mencukupi dalam diet yang seimbang.
  • Mengelakkan rasa terlalu lapar sehingga menyebabkan overeating atau makan terlalu banyak.
  • Bagi mengurangkan rasa penat, pening dan cepat marah.

Tips Penting

Memang tidak dinafikan diet ini mungkin agar sukar untuk diamalkan pada awal. Bagi membantu anda membiasakan diri dengan diet baru yang lebih sihat, anda boleh cuba tips saranan KKM seperti di bawah :

  • Rancang waktu makan terlebih dahulu. Ketahui waktu makan, snek seterusnya dan rancang apa yang hendak dimakan.
  • Ambil 3 hidangan utama setiap hari.
  • Jadualkan pengambilan makanan dengan jarak masa tidak melebihi 3 ke 4 jam di antara waktu makan dan snek.
  • Elakkan mengambil makanan berat sebelum tidur.
  • Makan mengikut sukatan yang disyorkan dalam Pinggan Sihat Malaysia atau Diet Suku-Suku Separuh.
  • Elakkan makanan berlebihan dan kenalpasti perasaan lapar dan kenyang bagi memastikan anda makan pada waktu yang sesuai sahaja.

Akhir kata, anda tidak perlulah stres untuk turunkan berat badan. Jadikanlah pemakanan sihat sebagai amalan supaya anda dapat kekalkan corak diet yang berkhasiat dalam jangka masa yang panjang. Ini sangat baik untuk memastikan kesihatan dan berat badan yang ideal untuk anda dan seisi keluarga.

Sumber :

www.moh.gov.my

Facebook Diet Suku Suku Separuh

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: