Daun Senna: Khasiat, Hadis Kebaikan & Kesan Sampingan Teh Sanna
Sejak akhir-akhir ini, daun senna menjadi semakin popular di Malaysia sebagai ubat kuruskan badan.
Selain itu, daun ini dikatakan sebagai daun yang disebutkan dalam hadis Nabi dan mampu merawat pelbagai penyakit, antaranya mencuci usus dan mengurangkan berat badan.
Tahukah anda apakah itu daun sanna dan benarkah ia mengandungi pelbagai khasiat?
Di sini kami kongsikan info daripada beberapa laman web yang dipercayai untuk rujukan kita bersama.
Apakah Daun Senna?
Herba sanna atau nama dalam bahasa Inggerisnya senna berasal daripada spesies tumbuhan Cassia.
Menurut Medical News Today, daun, bunha dan buah tumbuhan ini telah digunakan sebagai teh pelawas atau penawar tradisional (stimulan) sejak berkurun-kurun lamanya.
Menurut Portal MyHealth KKM, daun gelenggang ini digunakan sebagai ubat tradisional di negara Arab diperkenalkan ke Eropah oleh pengamal perubatan tradisional Arab pada abad ke-9.
Daun ini juga dikenali sebagai daun gelenggang manakala nama saintifiknya adalah Cassia senna L (C. acutifolia Delile) dan Cassia angustifolia Vahl.
Kegunaan Utama & Khasiatnya
Seperti yang disebutkan di atas, secara tradisional, daun sanna digunakan sebagai bahan laksatif (julap/ pelawas) bagi memudahkan pembuangan air besar.
Ianya bertindak dalam usus besar manusia dengan meningkatkan pergerakan peristalsis kolon dengan merangsang mukosa kolon lalu mengurangkan sembelit.
Dalam sesetengah kes, ia juga digunakan untuk membantu menurunkan berat badan, seperti mana produk-produk daun sanna yang semakin viral dan terkenal di Malaysia sekarang.
Bagi perubatan moden, produk sanna didatangkan dalam bentuk teh, cecair atau tablet.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mendaftarkan ubat yang mengandungi daun sanna dalam kategori ubat tradisional dan dalam kategori ubat farmaseutikal, ianya didaftarkan sebagai Ubat Bukan Preskripsi (OTC: Over The Counter).
Menurut KKM, daun ini dikatakan selamat untuk digunakan dalam jangka masa pendek bagi indikasi sembelit.
Teh / Produk Daun Sanna Tidak Sepatutnya Dijadikan Ubat Kurus
Teh sanna menjadi semakin popular sebagai teh herba / teh detoks, bukan saja di Malaysia tetapi juga di beberapa negara lain.
Ia didakwa boleh meningkatkan metabolisme dan menurunkan berat badan.
Walaubagaimanapun, menurut portal Healthline, tiada bukti saintifik yang membuktikan produk senna ini mampu menurunkan berat badan dengan berkesan.
Bahkan, penggunaan teh senna untuk tujuan ini dikatakan boleh menyebabkan kesan sampingan yang merbahaya, serta menjejaskan fungsi pembuangan air besar untuk jangka masa panjang.
Baca juga :
- 20 Petua, Khasiat & Kegunaan Daun Pandan Yang Ramai Tak Tahu
- Pening Kepala, Rasa Pusing & Berputar. Ramai Tak Sedar Ia Tanda ‘Vertigo’
Hadis Berkenaan Khasiat Daun Senna
Menurut penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, Daun Sanna menurut Ibn Qayim ialah suatu tumbuhan di tanah hijaz dan memiliki beberapa kelebihan antaranya:
- Menghilangkan penyakit kuning
- Menguatkan jantung
- Melegakan sakit kepala
- Menghilangkan gatal-gatal
Menurut beliau lagi meminum air daun Sanna dengan di rebus lebih baik berbanding minum dengan dihancurkan daun tersebut. (Rujuk Zad al-Maad: 4/6970)
Kawasan yang terbaik untuk tumbuhan ini ialah Mekah.
Kesan Sampingan
Pengguna yang mempunyai gejala seperti loya, muntah-muntah atau gejala apendik tidak disyorkan mengambil ubat yang mengandungi daun sanna.
Penggunaan melebihi dos yang ditetapkan juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti berikut:
- Cirit-birit
- Kram perut
- Dehidrasi
- Sakit abdomen
- Gangguan elektrolit
- Mual, loya & pengsan
Pengguna perlu memaklumkan kepada pengamal perubatan (moden atau tradisional) sekiranya terdapat ubat lain atau suplemen kesihatan yang diambil bersama. Ini dapat membantu mengelakkan interaksi yang tidak diingini.
*Sumber rujukan: