Vaksin Fasa Kedua Bermula 17 April. Ini Cara Daftar Tanpa MySejahtera
Sudahkah daftar vaksin COVID19 untuk ibu bapa kita?
Perkara ini penting kerana golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas merupakan antara yang perlu diutamakan.
Bermula 17 April nanti, Fasa kedua program vaksinasi Covid akan mensasarkan warga emas berusia 65 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi seperti obesiti, diabetes dan pesakit darah tinggi.
Pelaksanaan Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sepatutnya diadakan pada 19 April, diawalkan dua hari sebelum itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Susulan itu, beliau berkata, kempen pendaftaran perlu digiatkan kerana golongan berumur 60 tahun ke atas dan individu mempunyai komorbiditi hanya 30 peratus daripada tujuh juta rakyat yang sudah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.
Maka, pendaftaran awal perlu dibuat untuk menjamin bekalan vaksin untuk golongan warga emas, rentan dan kurang upaya mencukupi serta seterusnya melindungi mereka daripada mendapat jangkitan.
Jadi, tolong daftarkan ibu bapa anda supaya mereka dapat keutamaan untuk mendapat perlindungan dari jangkitan.
Kepentingan Vaksin COVID 19 Untuk Warga Emas
Merujuk kepada laporan MalaysiaKini, Pakar Geriatrik, Dr Ungku Ahmad Ameen, warga emas perlu mengambil vaksin Covid-19 kerana faktor berikut:
- Warga emas lebih terdedah untuk dijangkiti dan meninggal dunia akibat virus berkenaan.
- Tempoh pemulihan warga emas juga adalah lebih lama berbanding pesakit biasa.
Justeru dia meminta warga emas berusia 60 tahun ke atas agar mendapatkan vaksin untuk mencegah penularan wabak berkenaan.
Ungku, yang merawat pesakit Covid-19 di kalangan warga emas di Pusat Rehabilitasi Cheras, berkata ramai pesakit warga tua menderita meskipun setelah dibenarkan keluar dari hospital.
“Pesakit biasa biasanya keluar dari wad Covid-19 setelah 14 hari tetapi bagi pesakit berusia, setelah hari ke-14 mereka masih tidak sihat, masih lemah dan masih tidak dapat berjalan dengan baik.
“Mereka mengatakan rasa berbeza sebelum dan selepas dijangkiti penyakit ini. Mereka lebih lemah dari biasa.
“Oleh itu, melihat kadar kematian, kesan penyakit dan kesejahteraan warga emas; perkara yang perlu dilakukan adalah mencegah mereka daripada menghidap penyakit itu sendiri,” katanya semasa forum dalam talian bertajuk “Pelan Vaksinasi Untuk Kakitangan dan Warga Emas Di Rumah Penjagaan Orang Tua”.
Mengulas lanjut, Ungku berkata pesakit Covid-19 yang berusia cenderung dikesan lebih lewat, menghadapi komplikasi dan tempoh pemulihan yang lebih lama.
“(Bila) menguruskan pesakit tua di hospital, kita dapat melihat kebanyakan mereka adalah pesakit lemah. Dan ketika mereka masuk, ada kemungkinan mereka terlambat ke hospital.
“Dan kemudian pemulihan perlukan masa. Sebagai contoh (mereka yang mempunyai) komplikasi seperti pembekuan darah di paru-paru dan juga kerosakan pada paru-paru – kumpulan pesakit ini akan memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih, ”katanya.
Selamatkah Vaksin COVID19 Untuk Warga Emas?
Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM, Dr Kalaiarasu Peariasamy berkata, lebih 150 juta dos vaksin telah diambil di seluruh dunia dan tiada kesan sampingan yang teruk dilaporkan setakat ini.
Warga emas ialah individu berumur 60 tahun ke atas manakala kumpulan rentan ialah individu berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes, masalah jantung atau buah pinggang.
Katanya, sakit dan tanda kemerahan atau bengkak di bahagian yang disuntik adalah kesan sampingan biasa yang hilang dengan sendirinya dalam masa 2-3 hari.
Dr Kalai berkata, warga emas dan kumpulan rentan diutamakan untuk menerima vaksin kerana mereka mendapat pelbagai komplikasi apabila dijangkiti COVID-19
“Warga emas dan kumpulan rentan adalah kumpulan yang perlu dilindungi.
Oleh itu, kita mengutamakan kumpulan ini dalam pemberian vaksin,” katanya dalam program Agenda Awani.
Warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan kumpulan rentan adalah penerima vaksin bagi fasa kedua yang akan bermula April hingga Ogos.
Jika ibu bapa anda warga emas dan mempunyai penyakit kronik, daftarkan mereka untuk menerima vaksin.
Baca juga: 5 Perkara Tentang Vaksin Sinovac (CoronaVac) Yang Diketahui Setakat Ini
Cara Daftar Vaksin Tanpa Aplikasi MySejahtera
Orang ramai kini mempunyai pilihan kaedah tambahan bagi mendaftarkan diri dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Selain menerusi aplikasi MySejahtera, pendaftaran penerimaan vaksin COVID-19 kini boleh dilakukan menerusi laman web rasmi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID (JKJAV) di laman sesawang www.vaksincovid.gov.my.
Cara pendaftaran adalah seperti berikut:
- Layari https://www.vaksincovid.gov.my/daftar/
- Masukkan maklumat penuh di ruang yang disediakan dan hantar.
- Notifikasi berjaya akan diterima setelah semua maklumat diisi dengan lengkap.
Rujuk panduan bergambar di bawah:
Isikan butiran dalam ruangan tersebut.
Setelah lengkap dan dihantar, anda akan menerima notifikasi seperti di bawah.
Anda juga akan menerima notifikasi SMS setelah mendaftar.
Satu lagi kaedah adalah secara panggilan telefon ke talian hotline 1800-888-828.
Baca juga: Fungsi Baru MySejahtera – Cara Daftar Vaksin Untuk Tanggungan
Maklumat Lanjut
Jika anda mempunyai sebarang soalan atau keraguan mengenai vaksin atau Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, emailkan kepada [email protected]
ATAU
- Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
- Whatsapp : +60178429454
- Email : [email protected]
- Waktu Operasi : 8:00 pagi – 5:00 petang