‘Bunuh Kena 6 Tahun Je?’ Peguam Jelaskan Kes Mayat Bayi Disorok Dalam Peti Sejuk

Jika anda masih ingat lagi, kes kematian seorang bayi 5 bulan pernah menggemparkan negara apabila mayatnya ditemui dalam peti sejuk di rumah pengasuhnya.

Semalam, mahkamah telah menetapkan hukuman penjara 6 tahun terhadap pengasuh tersebut.

Rata-rata ramai yang meluahkan rasa kecewa di media sosial dengan hukuman yang dijatuhkan ini.

Baca : Pengasuh Simpan Mayat Bayi Dalam Peti Sejuk Dihukum Penjara 6 Tahun

Apakah yang sebenarnya berlaku dan mengapa pengasuh ini dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun?

Jom baca penerangan yang lebih lanjut daripada peguam yang terlibat dengan kes ini.

PENERANGAN KES PENGASUH ADAM RAYQAL

Bunuh kena 6 tahun je?

Tu ayat yang paling banyak dalam komen-komen page berita pasal kes ni. Ada yang kata Hakim tak betul la, undang-undang tak betul la. Memandai je korang kan.

Kes ni dikendalikan oleh En Mohd Redzuan Mohamed Yusoff, rakan kongsi firma kami dari awal sampai selesai. Maklumat-maklumat yang dikongsi di sini adalah maklumat yang telah dibentang dan diterima di mahkamah.

Kes ni pada awalnya disiasat di bawah seksyen 302 iaitu membunuh. Itu normal untuk kes-kes melibatkan kematian yang mencurigakan.

Selesai siasatan dari polis, kementerian kesihatan dan lain-lain, kes diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak. Pertuduhan dia “Menganiaya hingga menyebabkan kecederaan”

Di sini fungsi peguam. Peguam bukan saja kena lawan kes, tapi yang lebih penting kena pastikan semua pihak terutama mahkamah faham naratif kejadian dari perspektif tertuduh. Kena fahamkan semua pihak tentang kejadian sebenar.

So, apa kejadian sebenar?

Kejadian sebenar ialah pengasuh ni terjatuh di tandas bersama baby yang dipegang. Kejadian berlaku selepas pengasuh memandikan baby, macam hari-hari biasa.

Lepas terjatuh, dia bangun dan angkat semula baby. Baby menangis. Pengasuh ni check keadaan baby, tak ada sebarang kesan cedera. Tak ada luka, tak ada lebam, tak ada kesan merah-merah.

Ini selari dengan laporan post-mortem, tak ada sebarang kecederaan luaran. Punca kematian ialah kecederaan dalaman yang tak ada siapa boleh nampak dari luar.

Pengasuh ni kemudian memujuk baby dan beri susu. Baby berhenti menangis dan minum susu. Kemudian baby tidur. Dalam tidur, baby telah batuk-batuk dan keluar cecair jernih dari hidung. Baby dijangka meninggal sekitar masa ini. Pengasuh cuba beri bantuan pernafasan tapi gagal.

Masalah lebih besar bermula disini. Dalam keadaan panik tak tahu nak buat apa, pengasuh ni telah sembunyikan jenazah dalam peti sejuk. Itu adalah kesilapan paling besar bagi pendapat saya.

Masalah bertambah apabila pengasuh beritahu family baby telah diambil oleh orang lain. Perkara ni telah trigger pencarian kanak-kanak dan tular.

Pada petang yang sama, pengasuh rasa bersalah dan sedar akan kesalahan dia. Dia telah menyerah diri di balai polis dan terus beritahu polis di mana jenazah berada. Ini diakui oleh mahkamah dan selari dengan dokumen pihak polis.

Jenazah telah dijumpai hasil tunjuk arah oleh pengasuh sendiri.

Ada kejadian bunuh? Tak ada.

Ada tindakan kejam yang menyebabkan kecederaan? Tak ada.

Ada tindakan memukul, mengetuk, membelasah bayi malang tersebut? Tak ada. Malah jentik pun tak ada.

Apa yang ada ialah kemalangan yang kemudian disusuli tindakan salah iaitu menyembunyikan kematian.

Salah tak? Ye salah. Tapi adakah salah itu sama tahapnya dengan membunuh? Tidak.

Undang-undang, sistem kehakiman dan mahkamah, malah sesiapa yang mendapat latihan perundangan dapat menilai bahawa ada perbezaan antara membunuh, menyebabkan kematian sama ada secara sengaja atau tidak, dan kemalangan.

Kami percaya atas dasar itu, setelah dihujah oleh pihak Peguam, pendakwaraya telah meminda pertuduhan dari “menganiaya hingga menyebabkan kecederaan” kepada “mendedahkan kepada keadaan yang mungkin menyebabkan kecederaan”

Bila dibaca dan dinilai betul-betul, dua ayat pertuduhan tu membawa maksud berbeza. Dan maksud kedua iaitu mendedahkan kepada keadaan yang mungkin menyebabkan kecederaan adalah lebih tepat menggambarkan keadaan sebenar.

Dan ambil kira juga bahawa elemen asas yang dipertuduh bukanlah membunuh atau menyebabkan kematian, tapi menyebabkan kecederaan.

Kenapa? Kerana pengasuh tersebut tidak membuat sebarang tindakan aktif untuk membunuh. Dia terlibat dalam kemalangan bersama baby, dari keadaan lantai bilik air yang licin.

Sebelum kita menghukum, kita kena tau fakta sebenar. Kita kena nilai undang-undang dengan fakta unik setiap kes.

Hakim yang zalim adalah hakim yang menghukum tanpa usul periksa, yang tak tahu fakta tapi sepantas kilat menjatuhkan hukuman.

Janganlah kita jadi macam itu.

*Sumber asal oleh: The Law Chambers of Redzuan & Faiezad

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: