Bunga Cengkih: Khasiat dan Kegunaan Dalam Kesihatan
Bunga Cengkih: Khasiat dan Kegunaan Dalam Kesihatan ~ Bunga Cengkih adalah merupakan salah satu rempah ratus yang seringkali digunakan dalam masakan.
Tahukah anda, selain itu ia juga mempunyai banyak khasiat dan pelbagai kegunaan dalam penjagaan kesihatan manusia.
Berikut dikongsikan beberapa khasiat dan kegunaan bunga cengkih dalam kesihatan.
BACA JUGA: Khasiat Biji Kembang Semangkuk, Boleh Legakan Batuk & Demam
Bunga Cengkih
Nama saintifik bunga cengkih ialah Syzygium aromaticum.
Ia adalah merupakan sejenis tumbuhan rempah ratus yang mempunyai daun berbentuk lonjong yang berbunga pada pucuk-pucuknya.
Tumbuhan ini mempunyai rasa yang manis dan aroma bau yang menyelerakan menyebabkan ia sering digunakan dalam masakan.
Biasanya, kuntum bunga cengkeh yang belum kembang akan dikeringkan untuk dijadikan rempah ratus, herba atau dijadikan dalam bentuk serbuk.
Khasiat Dan Kegunaan Bunga Cengkih
Khasiat bunga cengki dalam kesihatan tidak perlu lagi diragukan kerana ia telah digunakan secara meluas sejak puluhan tahun lalu.
Mari kita baca khasiat-khasiat cengkeh di bawah satu persatu.
Membantu Melegakan Penyakit Berkaitan Saluran Pernafasan
Salah satu khasiat dan kegunaan bunga cengkih yang popular ialah ia dapat membantu melegakan penyakit berkaitan saluran pernafasan seperti batuk, bronkitis, resdung dan asma.
Air wap rebusan cengkih dapat melegakan simptom batuk, selesema dan asma.
Selain itu, ia juga boleh dikunyah untuk mengubati sakit tekak dan keradangan pada saluran pernafasan. Untuk rasa yang lebih baik, biasanya ia akan dicampur madu.
Antimikrobial
Sifat antimikrobial bunga cengkih mampu membantu mengelakkan pembiakan mikroorganisma seperti bakteria sekaligus membantu mencegah terjadinya keracunan makanan yang disebabkan oleh mikroorganisma.
Bukan itu sahaja, sifat antimikrobial bunga cengkih juga mampu membunuh bakteria yang menjadi penyebab kepada sakit atau keradangan gusi.
Anda boleh jadikan air rendaman cengkeh bersama minyak pokok teh dan selasih sebagai alat pencuci mulut. Kumur air rendaman tersebut untuk mengelakkan rasa sakit pada gusi.
Ia juga didapati mampu menghilangkan plak pada gigi dan mengelakkan mulut anda berbau.
Membantu Melegakan Sakit Perut/Gastrik
Pengambilan minyak pati cengkih didapati mampu meningkatkan pengeluaran cecair yang boleh membantu mencegah hakisan dinding perut daripada asid pencernaan di dalam perut untuk mengelakkan sakit perut/gastrik berlaku.
Anda boleh cuba mengigit bunga cengkih dan biarkan seketika di dalam mulut apabila sakit perut.
Bunga cengkih mampu mengurangkan keasidan perut sekaligus melegakan sakit perut anda.
Ubat Tahan Sakit
Eugenol adalah merupakan salah satu komponen utama yang terdapat dalam cengkih yang mampu memberikan kesan analgesik.
Oleh itu, ia boleh digunakan sebagai ubat tahan sakit terutamanya sakit gigi, mahupun sakit pada bahagian sendi.
Walaubagaimanapun, untuk kesan yang lebih baik, anda memerlukan dos (kuantiti cengkeh yang banyak) yang tinggi iaitu 50 – 100mg/kg berat badan.
Mengawal Paras Gula Dalam Darah
Komponen nigericin yang terdapat di dalam cengkih mampu meningkatkan pengambilan gula daripada darah kepada sel untuk mengurangkan paras gula di dalam darah kerana gula telah disalurkan ke dalam sel untuk menjadi tenaga.
Selain itu, ia juga dapat meningkatkan rembesan insulin dan membaiki fungsi sel untuk membuat insulin.
Kesimpulan
Bunga cengkih sememangnya mempunyai banyak khasiat dan kegunaan yang tidak dapat diragukan.
Walaubagaimanapun, sila dapatkan nasihat daripada doktor sebelum memulakan sebarang pengambilan sekiranya perlu.