Hujan Lebat, Banjir Dijangka Berlaku Dari November Hingga Mac – MetMalaysia

Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang melibatkan hujan lebat dan banjir dijangka melanda negara bermula pada awal November 2021 ini hingga Mac 2022 tahun hadapan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, setakat ini, negara masih lagi dalam fasa peralihan monsun.

“Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk. Selain itu, tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan.

“Orang awam yang tinggal di kawasan berisiko perlulah mengasingkan dan menyimpan dokumen-dokumen penting di tempat yang selamat dan mudah diambil jika berlakunya banjir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Tambah Muhammad Helmi, dalam tempoh Monsun Timur Laut kali ini, empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dan boleh mendatangkan banjir dijangka berlaku semasa fasa awal Monsun Timur Laut iaitu dari November tahun ini hingga Januari depan.

“Episod hujan lebat dijangka akan berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang antara bulan November hingga Disember tahun ini manakala pada bulan Disember hingga Januari tahun hadapan, episod hujan lebat lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun, semasa luruan udara sejuk yang kuat, ia juga boleh mempengaruhi keadaan cuaca negeri-negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk mengelak daripada melalui kawasan banjir atas faktor-faktor keselamatan.

Langkah Keselamatan Perlu Diambil Ketika Banjir

“Sekiranya berada di luar semasa berlakunya banjir, orang awam perlu mengelakkan dari melalui kawasan banjir kerana arus yang deras yang boleh menghanyutkan anda. Oleh itu, pergilah ke tempat yang tinggi serta selamat.

“Perkara yang paling utama ialah orang awam perlu mengikut arahan pihak berkuasa pengurusan bencana tempatan dari semasa ke semasa.

“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat serta angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia 1300 22 1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” jelasnya.

Baca juga: Senarai Tempat Sering Berlaku Mati Lemas Di Malaysia – Bomba

Berhati-hati Dengan Ribut Petir

Sementara itu, ribut petir pula merupakan fenomena yang lazim berlaku semasa Peralihan Monsun.

Hujan lebat dari ribut petir boleh menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh malahan angin kencang dan hujan batu juga sering dikaitan dengan ribut petir.

banjir

Sumber: K! ONLINE

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: