Penyanyi Era 1980-an, Aman Shah Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal era 1980-an, Aman Shah meninggal dunia akibat serangan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Berita duka itu disahkan oleh penyanyi terkenal yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air, Datuk DJ Dave kepada Astro AWANI sebentar tadi.

Aman Shah pernah menempah kemasyhuran menerusi lagu Kepulangan Yang Dinanti yang sering dimainkan setiap kali sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan lagu Adikku Pandai Menari.

Allahyarham juga pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Darah Satria.

Sebelum ini, tular tangkap layar di Whatsapp tentang berita tersebut.

Menerusi Harian Metro, pembantu peribadi adik Allahyarham, Amirudin Mokhtar turut mengesahkan berita tersebut.

“Ya, Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 2.20 petang tadi. Dia terjatuh selepas menjalani pembedahan malam tadi.

“Allahyarham dimasukkan ke hospital tiga hari lepas. Sekarang kami sedang menunggu proses pengurusan jenazah,” katanya.

Sementara itu, pelakon, Lizawati Hamdan yang berada di IJN dan turut mengesahkan perkara terbabit.

“Saya baru melihat jenazahnya sebentar tadi. Allahyarham dimasukkan ke IJN sejak Rabu lalu dan punca kematiannya akibat masalah jantung,” katanya.

Aman amat diingati peminat dengan lagunya Kepulangan Yang Dinanti yang sering dimainkan semasa ketibaan Hari Raya Aidilfitri. 

Sumber: Astro Awani, Utusan Malaysia

Baca juga:

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: