5 Persediaan e-Filing 2023 Yang Anda Wajib Tahu

Adakah anda sudah bersedia untuk mengisi e-Filing bagi tahun 2023?

Persediaan mengisi e-Filing perlu dilakukan awal dan sebaik-baiknya. Hal ini adalah untuk memudahkan anda serta memastikan anda tidak mengalami kesulitan kelak dalam memasukkan maklumat pengecualian cukai.

Untuk membantu anda membuat persediaan, berikut kami kongsikan 5 perkara penting dalam membuat persediaan e-Filing 2023 untuk memudahkan anda. Teruskan membaca. 

BACA JUGA: Senarai Pelepasan Cukai 2022 Untuk e-Filing 2023

5 Persediaan e-Filing 2023

1. Borang EA / EC

Borang EA : Borang Cukai Pekerja Swasta Untuk Penyata Gaji selama setahun

Borang EC : Borang Cukai Pekerja Kerajaan Untuk Penyata Gaji selama setahun

Borang ini sangat penting kerana di dalam penyata itu ada dinyatakan segala butiran dan maklumat berkenaan gaji, bonus, ganjaran atau kemudahan yang diberikan oleh majikan

Pastikan anda mendapatkan borang ini daripada pihak majikan/HR bagi membolehkan anda melakukan proses e-Filing.

Borang cukai (income tax/BE Form) mestilah dihantar pada bulan April setiap tahun, selewatnya 30 April dan jika lambat penalti akan dikenakan. Dengan adanya borang ini, barulah anda boleh mengisi borang cukai (income tax) itu.

Pastikan nilai yang anda masukkan ketika e-Filing adalah sama dengan nilai yang dipaparkan dalam Borang EA/EC ini.

persediaan e-fliling
Contoh borang EA
persediaan e-fliling
Contoh borang EC

2. Penyata Komisen

Untuk individu yang menerima komisen pula (ejen-ejen penapis air, MLM, Takaful, Unit Trust, Remisier), sila minta borang CP58 (penyata bayaran insentif) daripada syarikat anda. Borang CP58 ini perlu diserahkan kepada ejen, pengedar atau wakil berkenaan sebelum 31 Mac 2023.

persediaan e-fliling
Contoh borang CP58

3. Penyata Untung Rugi

Untuk pemilik bisnes, tidak kiralah bisnes anda rugi atau untung, anda tetap kena isytiharkan cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Penyata Untung Rugi ini hanya akan menunjukkan amaun untuk tahun semasa sahaja dan tidak akan dikumpul atau dibawa untuk tahun berikutnya. 3 Kategori yang perlu ada di dalam laporan penyata ini adalah:

1. SALES/JUALAN: Nilai jualan yang dihasilkan oleh syarikat termasuk nilai jualan yang masih belum dibayar. Contoh: RM500,000 nilai jualan ini termasuk RM100,000 yang masih belum diterima bayarannya dari pelanggan.

2. COST OF GOODS SOLD / KOS JUALAN: Nilai pembelian daripada pembekal termasuk yang belum berbayar. Sama seperti jualan tadi, cumanya kos jualan adalah terhad kepada kos yang digunakan untuk menghasilkan jualan. Contoh restoran, hasil jualan adalah dari harga makanannya manakala kos jualan adalah bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan jualan tersebut. 

3. EXPENSES / BELANJA: Kos-kos yang terlibat secara tidak langsung untuk menguruskan perniagaan sepanjang tahun berikut. Walaupun tiada jualan, perniagaan perlu juga membayar belanja tersebut. Contohnya, sewa kedai, utiliti dan gaji pekerja.

persediaan e-fliling
Contoh penyata untung rugi

Daripada maklumat yang dinyatakan, terdapat DUA angka iaitu UNTUNG KASAR dan UNTUNG BERSIH yang boleh dijadikan sebagai rujukan. Untung bersih inilah akan digunakan sebagai pengiraan cukai perniagaan anda. 

4. Penyata / Resit Yang Berkaitan

Segala bayaran yang boleh mendapat pengecualian cukai mestilah disimpan rapi kerana pihak LHDN boleh memintanya pada bila-bila masa. Pastikan anda menyimpan rapi semua resit-resit berkaitan sebagai persediaan e-Filing 2023 ini.

  • Resit Gaya Hidup: Cari semula resit-resit dan bil kalau tahun lepas (2022) yang anda ada gunakan untuk membeli/membayar smartphone/komputer/laptop/tablet, buku/ subscription news online, bil langganan internet, pembelian alat sukan / yuran gym dan sebagainya. Anda boleh claim bawah pelepasan gaya hidup maksimum RM2,500. Belian mestilah untuk kegunaan peribadi saja, bukan untuk bisnes.
  • Resit Alatan Penyusuan: Cari semula resit-resit berkaitan peralatan penyusuan (kalau ada beli). Pelepasan ini untuk pembayar cukai wanita saja atas pembelian peralatan penyusuan ibu untuk kegunaan menyusukan anak yang berumur 2 tahun dan ke bawah. Amaun claim adalah terhad kepada amaun yang dibelanja dan maksimum RM1,000 walaupun ada lebih daripada seorang anak. Peralatan penyusuan ibu yang layak mendapat potongan adalah:
    • set pam susu dan pek ais (breast pump kit dan ice pack);
    • bekas pengumpulan dan penyimpanan susu (breast milk collection and storage equipment); serta
    • set penyejuk atau beg penyejuk (cooler set / bag).
  • Resit Prasekolah: Cari semula resit bayaran yuran anak anak yang berumur 6 tahun dan ke bawah yang dihantar ke prasekolah atau pusat asuhan. Pastikan taman asuhan kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau prasekolah kerajaan/swasta yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
  • SSPN-i: Simpan penyata SSPN-i. 
  • Resit bayaran zakat: Resit atau penyata bayaran zakat boleh dapatkan dari Pusat Zakat Negeri masa buat bayaran. 

Terdapat beberapa jenis resit lagi yang anda perlu simpan. Boleh rujuk di laman web LHDN. 

Walaupun pihak LHDN tidak meminta anda menghantar resit-resit ini setiap kali melakukan e-filing, anda mungkin diminta untuk menghantarnya pada masa akan datang. Setiap tahun, pihak LHDN akan memilih segelintir individu untuk menghantar resit dan segala dokumen berkaitan bagi tujuan semakan.

Sekiranya tiada, jangan terkejut sekiranya anda dikenakan denda atau penalti kerana dianggap melakukan tuntutan palsu bagi pengecualian cukai.

persediaan e-fliling
Contoh cara menyimpan resit

BACA JUGA: Resit & Dokumen Cukai LHDN Yang Perlu Disimpan 7 Tahun

5. Jelaskan Tunggakan Cukai

Jangan lupa membuat semakan dan menjelaskan tunggakan cukai terdahulu sekiranya ada.

Anda juga boleh meminta bayaran secara ansuran dari pihak LHDN sekiranya tidak mampu untuk membayar sekaligus. Pihak syarikat perlu mengemukakan surat rayuan kepada Unit Pungutan di cawangan fail fizikal anda berada sebelum tarikh akhir bayaran bagi tahun berkenaan. 

Namun begitu adalah diingatkan, sungguhpun rayuan diterima tetapi penalti lewat bayar tetap akan dikenakan.

Maklumat Lanjut & Pertanyaan

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin mengetahui maklumat lanjut/terbaru, anda boleh rujuk dan ikuti laman Facebook rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: