Amalkan Zikir Harian Ini Agar Dijauhkan 100 Keburukan, Didatangkan 100 Kebaikan
AMALKAN ZIKIR HARIAN INI AGAR DIJAUHKAN 100 KEBURUKAN DAN DIDATANGKAN 100 KEBAIKAN.
Sebagai manusia, kita pastinya mendambakan kebahagiaan dan kesenangan di dalam kehidupan kita.
Maka dengan itu, setiap apa yang kita lakukan haruslah berpaksikan semula kepada matlamat kita untuk mengecapi kebahagiaan.
Hal ini telah dikongsikan oleh pendakwah, Asma’ Harun menerusi laman Facebook miliknya. Beliau berkongsi satu zikir harian yang membantu mendatangkan kebaikan untuk kehidupan.
Zikir Harian Agar Diberi 100 Kebaikan dan Dijauhkan 100 Keburukan
“Saya nak berkongsi ilmu yang tidak ternilai melebihi dunia dan isinya, satu zikir yang diajarkan Rasulullah SAW.
“Saya hanya menyampaikan, kita sama-sama beramal dengan istiqamah dan khusyuk. Mudah-mudahan akan merasai kemanisannya,” coret beliau di laman sosial Facebook.
Ujar beliau , daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa membaca:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Laa ilaaha illallahu wahdahuu laa syariika lahuu, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘alaa kulli syai’in qodir.
“Yang bermaksud tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH Yang Maha Esa tidak ada sekutu bagi-
NYA. Milik-NYA kerajaan dan bagi-NYA segala puji dan DIA MAHA KUASA atas segala sesuatu.”
“Membaca zikir ini sebanyak 100 kali dalam sehari, maka baginya pahala seperti membebaskan 10 orang hamba, ditetapkan baginya 100 kebaikan dan dijauhkan daripadanya 100 keburukan.
“Dan baginya perlindungan daripada (godaan) syaitan pada hari itu hingga petang dan tidak ada orang yang lebih baik amalnya daripada orang yang membaca doa ini kecuali seseorang yang dapat mengamalkan lebih banyak zikir ini.” (HR Bukhari, Hadis Sahih)
Beliau juga turut berkongsi lima waktu yang boleh diamalkan zikir tersebut:
- Boleh diamalkan pada bila-bila masa kerana Nabi SAW tidak menetapkan waktu.
- Jika nak tetapkan untuk diri sendiri tiada masalah sebagai contoh:
50 kali lepas Subuh dan 50 kali lepas Asar atau 20 kali selepas solat, asalkan cukup 100 kali.
- Nabi Muhammad SAW menggalakkan membaca sebanyak maksudnya melebihi 100 kali sebagaimana penghujung Hadis.
Baca juga: Doa Ditimpa Ujian, Tekanan Dan Gelisah. Amalkan Setiap Hari
- Wanita yang sedang dalam keadaan tidak suci, seperti haid dan nifas juga boleh mengamalkannya.
- Membaca tanpa wuduk atau menghadap kiblat juga tiada masalah sambil melakukan tugasan juga dibolehkan.
Zikir ini sebaiknya dibaca dalam keadaan tenang dan fokus. Sebaiknya kita berada dalam keadaan yang kusyuk ketika membacanya.
Semoga yang sedang dalam kesusahan, kebimbangan, ketakutan, kesedihan, kesempitan dan apa sahaja, ALLAH angkat segala musibah dan ujian, diberikan jalan keluar terbaik dunia dan akhirat.
Semoga ALLAH juga berikan kita kekuatan beramal dan istiqamah hingga diberikan Husnul Khatimah.
Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun
Baca juga: Doa Dapat Jodoh Yang Baik (Untuk Pasangan Lelaki & Perempuan)