Doa Ketika Ziarah Hari Raya Aidilfitri – Ustazah Asma’ Harun
JANGAN TINGGAL DOA INI SAAT ZIARAH MENZIARAHI DI BULAN SYAWAL
Ketika kita menerima jemputan untuk hadir ke rumah terbuka seseorang, janganlah sekadar datang bersalaman, makan kemudian pulang. Tetapi amat digalakkan bagi tetamu untuk mendoakan tuan rumah di atas jasa mereka memberi makan kepada kita.
Mari sama-sama kita amalkan doa berikut sekiranya hadir ke rumah terbuka atau ketika berziarah:
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ
اللَّهُمَّ يَا مُحَوِّلَ الْأَحْوَالِ، يَا كَرِيمُ يَا مُتَعَالْ، بِجُودِكَ وَكَرَمِكَ حَوِّلْ أَحْوَالَنَا إِلَى أَحْسَنَ أَحْوَال، وَبَارِكْ لَنَا وَلِجَمِيعِ الْمُسْلِمِينَ بِبَرَكَةِ شَهْرِ شَوَّال
اللَّهُمَّ يَا خَيْرِ الْمَسْؤُولِيْنَ، اِسْتَجِبْ دُعَاءَنَا وَاعِدْ عَلَيْنَا هَذَا الشَّهْرَ سِنِينًا بَعْدَ سِنِينَ وَأَعْوَامًا بَعْدَ أَعْوَامٍ، وَبَارِكْ لِصَاحِبِ / لِصَاحِبَةِ هَذَا الْبَيْتِ ………… وَطَوِّلْ عُمْرَهُ / عُمْرَهَا مَعَ الْإِيْمَانِ، وَارْزُقْهُ / وَارْزُقْهَا مِنَ الْحَلَالِ وَجَنِّبْهُ / وَجَنِّبْهَا عَنِ الْحَرَامِ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ، وَاَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن
Maksudnya: “Segala pujian bagi Allah SWT Tuhan pentadbir seluruh alam, selawat dan salam ke atas junjungan kami Muhammad SAW yang semulia-mulia utusan dan juga ke atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.
Ya Allah wahai Tuhan pentadbir seluruh keadaan Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Tinggi kedudukannya, dengan limpah dan kemurahanMu tukarkanlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dan berkatilah kami dan seluruh umat Islam dengan keberkatan bulan Syawal.
Ya Allah wahai Tuhan sebaik-baik tempat permohonan, perkenanlah permintaan kami dan kembalikan lagi peluang kepada kami bulan ini tahun demi tahun dan tahun-tahun seterusnya dan berkatilah Tuan rumah ini ……(sebut nama tuan rumah)…… dan seluruh ahli keluarganya. Dan panjangkanlah umur mereka dengan iman dan kurniakanlah kepada mereka rezeki yang halal dan jauhkanlah mereka daripada rezeki yang haram dengan rahmatMu, wahai Tuhan yang sebaik-baik mengurniakan rahmat.
Selawat dan salam daripada Allah ke atas junjungan kami Muhammad SAW dan juga ke atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat Baginda. Segala pujian bagi Allah SWT Tuhan pentadbir seluruh alam.”
SubhanAllah, Allahu Akbar
Sangat indah doa ini jika diamalkan. Begitu juga indahnya didikan akhlak yang dianjurkan di dalam Islam, apabila tuan rumah menggembirakan tetamunya dengan jamuan makan, para tetamu pula menggembirakannya dengan doa.
Ini juga antara amalan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat seperti di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Busr bin abi Busr r.a., beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَزَلَ فَذَكَرُوا وَطْبَةً وَطَعَامًا وَشَرَابًا فَكَانَ يَأْكُلُ التَّمْرَ وَيَضَعُ النَّوَى عَلَى ظَهْرِ أُصْبُعَيْهِ ثُمَّ يَرْمِي بِهِ ثُمَّ قَامَ فَرَكِبَ بَغْلَةً لَهُ بَيْضَاءَ فَأَخَذْتُ بِلِجَامِهَا فَقُلْتُ يَا نَبِيَّ اللَّهِ ادْعُ اللَّهَ لَنَا فَقَالَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِيمَا رَزَقْتَهُمْ وَاغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah singgah di suatu tempat, maka para sahabat pun menyiapkan Wathbah (tempat air susu yang terbuat dari kulit), makanan dan minuman. Kemudian Rasulullah SAW makan kurma lalu meletakkan bijinya di atas kedua jarinya dan melemparnya. Setelah itu, beliau bangun dan menaiki bighal miliknya yang bernama putih, aku lalu memegang talinya dan berkata, “Wahai Nabi Allah, berdoalah untuk kami!” Maka baginda pun berdoa, Ya Allah, berkahilah rezeki yang Engkau kurniakan kepada mereka, ampunilah mereka dan sayangilah mereka”.
(HR Ahmad, hadis sahih)
Semoga dengan kita saling mendoakan dan membuat kebaikan terhadap sesama muslim, Allah SWT merahmati persaudaraan ini lalu menghimpunkan kita semua di dalam Syurga Firdaus tanpa hisab, tanpa azab.