Jangan Buat 5 Perkara Ni 1 Jam Sebelum Ujian RTK Covid-19!
Saringan ujian Covid 19 menggunakan air liur sebenarnya sensitif, pantas dan mampu dilakukan dengan mudah. Tetapi ia bergantung kepada kualiti sampel ujian air liur dan teknik yang digunakan.
Saringan COVID-19 ini boleh dilakukan sama ada dengan menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) atau hadir ke mana-mana fasiliti kesihatan yang berdekatan.
Pengesanan awal kes COVID-19 dengan menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) ini boleh membantu individu-individu untuk memantau kesihatan dan menilai risiko kendiri bagi mendapatkan rawatan kesihatan sebelum terlambat sekali gus mengurangkan kes-kes Brought-in-Dead (BID).
Selain itu, kit ujian RTK-Ag (kendiri) COVID-19 ini adalah mudah dan pantas untuk dijalankan di samping mempercepatkan proses individu yang positif dikenal pasti dan seterusnya diasingkan supaya risiko penyebaran kepada individu lain terutamanya golongan rentan dapat dikurangkan.
Masyarakat juga dinasihatkan untuk menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi mendapatkan keputusan yang sah.
Bagi mengelakkan jangkitan, setiap individu digalakkan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan balik kampung, pergi bercuti dan sebagainya.
Langkah ini adalah untuk memastikan supaya kita dapat mengurangkan risiko, membuat pengesanan awal dan sekaligus memutuskan rantaian COVID-19.
Ujian saringan ini juga boleh dilakukan dengan menggunakan RTK-Ag (kendiri) seperti yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kesihatan.
5 Perkara Perlu Dielakkan 1 Jam Sebelum Ujian RTK (Air Liur) Covid 19
Persiapan untuk ujian air liur (saliva) bermula 1 jam sebelum ujian dilakukan.
Elak lakukan 5 perkara ini dalam tempoh 1 jam sebelum menjalani ujian saliva Covid-19.
- Jangan makan / kunyah gula getah
- Jangan minum
- Jangan merokok
- Jangan menghisap vape
- Jangan memberus gigi
Kenapa?
Ia boleh menyebabkan sampel air liur yang diuji tidak berkualiti.
Ini adalah sebab paling kerap sampel air liur ditolak oleh makmal:
- Air liur bercampur dengan bahan asing lain
- Air liur terlalu sedikit (di bawah 1.0 mL)
- Perubahan warna akibat sisa minuman/ makanan (sepatutnya jernih)
- Gumpalan makanan, lendir atau sisa lain
- Berbuih buih, sisa ubat gigi
Cara Menjalankan Ujian
Di bawah ini adalah panduan 6 langkah mudah mengenai cara penggunaan RTK Antigen Saliva Test Kit.
Laporkan Ujian Kendiri Covid-19
Semua keputusan ujian COVID-19 adalah amat penting untuk dilaporkan kepada KKM kerana ia akan mempengaruhi kadar positif jangkitan COVID-19 negara yang dilaporkan selain menunjukkan peningkatan kesedaran orang ramai akan kepentingan melakukan ujian pengesanan SARS-COV-2.
Sekiranya Anda Positif Covid -19 melalui langkah berikut:
- Laporkan status anda di dalam MySejahtera melalui ikon HelpDesk
- Tekan pilihan F di laman Helpdesk
- Status anda akan bertukar Merah dan tempoh kuarantin akan dinyatakan.
- Lakukan pantauan kendiri melalui Home Assessment Tool (HAT) di dalam “Things To Do” setiap hari sepanjang tempoh kuarantin.
- Selepas selesai kuarantin di rumah, digital Release Order (RO) dengan tanda Completed akan tertera di MySejahtera anda. Screenshot RO ini sebagai simpanan / rujukan.
Walaupun KKM sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti ujian pengesanan SARS-COV-2 di fasiliti kesihatan kerajaan mahupun swasta, namun dengan kerjasama orang ramai melakukan ujian saringan kendiri, jumlah ini dapat terus ditingkatkan.
KKM juga menyeru semua pihak supaya berganding bahu bersama Kerajaan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 melalui pendekatan whole-of-government, whole-of-society agar kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Pemerkasaan individu dan masyarakat dengan melakukan saringan COVID-19 terutamanya melalui RTK-Ag (kendiri) ini akan membantu negara ke arah mencapai matlamat tersebut.
Baca juga: Cara Padam Akaun MySejahtera Lama & Kemaskini E-mel / Telefon / IC