‘Taip URL Sepenuhnya’, Ini Tip Penting Elak Laman Web Palsu / Scammer
Baru-baru ini sebuah laman web palsu Maybank menjadi tular akibat seorang pengguna yang telah kehilangan wang kerana tertipu dengan laman web yang kelihatan hampir sama dengan Maybank2u.
Jika dilihat sekali imbas dalam gambar yang ditunjukkan di bawah ini, memang susah kita nak bezakan antara laman web sebenar dengan yang palsu ni kan? Lebih-lebih lagi kalau masa tu kita pun nak cepat dan terganggu dengan banyak perkara lain.
Berhubung perkara itu, pihak Maybank sendiri telah mengeluarkan sebuah kenyataan dan tips yang perlu dipraktikkan supaya kita terselamat dan tidak tertipu dengan laman web palsu atau scammer.
Tips Elak Laman Web Palsu
Di sini kami lampirkan tips sepenuhnya dari pihak Maybank yang telah dikongsikan melalui Facebook rasmi Maybank Malaysia:
Amat sukar untuk mengenalpasti laman web palsu baru-baru ini, ini disebabkan ‘scammer’ semakin licik mencipta laman web ‘phishing’ yang kelihatan semirip dengan laman web yang sebenar supaya anda tertipu untuk memberi maklumat peribadi, seperti nama pengguna dan kata laluan Maybank2u.
Kami menasihatkan anda agar berhati-hati dan sila layari laman web kami dengan menaip www.maybank2u.com.my pada pelayar.
Jika anda mencari ‘Maybank’ atau ‘Maybank2u’ melalui enjin carian, pastikan anda periksa URL sebelum klik. Walaupun laman web kami akan selalu muncul sebagai hasil carian teratas, ianya adalah lebih selamat jika anda menaip URL terus ke pelayar.
Menurut pihak Maybank, kalau nak selamat, kita kenalah menaip URL selengkapnya iaitu www.maybank2u.com.my semasa membuat carian di Google. Ingat, mesti taip dengan lengkap tau!
PALING PENTING, kena tengok betul-betul link yang kita nak klik tu terutamanya bila kita sekadar menaip ‘Maybank’ atau Maybank2u di Google. Macam-macam carian akan keluar kan?
Jadi, di sinilah kita kena extra careful ok!
Tapi apa nak buat sekiranya kita dah tak sengaja ter’masuk’ laman web palsu atau dahpun login atau membuat pemindahan wang melalui laman web tersebut?
Ini saranan pihak Maybank:
Sekiranya anda telah mendedahkan butiran log masuk Maybank2u di laman web palsu secara tidak sengaja, sila hubungi kami dengan segera di talian 03-5891-4744.
Lain-lain Tips
Selain cara di atas, pengguna juga boleh mempraktikkan tips elak laman web palsu seperti berikut:
- Jangan mudah terpedaya dengan tawaran dan promosi yang terlalu bagus untuk menjadi kenyataan. Ini adalah muslihat penipuan yang akan membawa anda ke laman web palsu (phishing).
- Pastikan anda mengesahkan gambar profil dan frasa keselamatan semasa log masuk ke Maybank2u. Periksa dengan teliti sebelum anda memasukkan kata laluan.
- Gunakan aplikasi MAE atau Maybank2u untuk tahap keselamatan lebih tinggi bagi mengurus kewangan harian anda dengan lebih tenang.
- Berhati-hatilah jika anda menerima panggilan atau SMS daripada orang yang tidak dikenali dan mendakwa bahawa nombor TAC telah dihantar kepada anda. JANGAN sesekali mendedahkan nombor TAC, serta nama pengguna dan kata laluan Maybank2u anda kepada sesiapa sahaja, walaupun mereka mengaku sebagai kakitangan Maybank. Pihak Maybank TIDAK akan meminta maklumat sedemikian. Sekiranya anda menerima nombor TAC, sila periksa butiran transaksi dalam SMS untuk mengesahkan bahawa transaksi tersebut benar-benar dilakukan oleh anda.
- Jangan sesekali menggunakan Wi-Fi awam semasa berurusan secara atas talian kerana maklumat peribadi anda boleh didedahkan kepada penggodam. Pastikan urusan anda dilakukan dengan sambungan Internet yang selamat dan terjamin sepanjang masa.
- Pastikan perisian antivirus anda sentiasa dikemaskini. Ini boleh membantu melindungi komputer anda dari serangan ‘malware’.
Jika ada sebarang keraguan, sila layari Maybank2u atau platform media sosial Maybank untuk pengumuman atau maklumat kempen yang rasmi.
Sila kunjungi halaman rasmi Maybank seperti di bawah, dan bukan melalui pautan atau iklan yang mencurigakan:
- Facebook – https://www.facebook.com/Maybank/
- Twitter – https://twitter.com/mymaybank
- Instagram – https://www.instagram.com/mymaybank/
Semua tips ini boleh diaplikasikan untuk melayari semua laman web perbankan atau pembelian atas talian juga.
Jika anda membuat pembelian atas talian, anda juga boleh membuat semakan nombor akaun atau nombor telefon scammer melalui Portal CCID Semakmule oleh pihak PDRM.
Nak tahu caranya, boleh rujuk melalui artikel ini: CCID: Cara Check Scammer Online (Semak No Akaun & No Telefon)
Semoga bermanfaat!