‘Tiada Sesi Pandu Uji Kereta’, Ini Penjelasan Setiausaha Politik MB Kedah
Polis Siasat Dakwaan MB Kedah Langgar SOP Pandu Uji Kereta Ketika PKP
Polis Pulau Pinang buka kertas siasatan terhadap MB Kedah, Muhammad Sanusi susulan dakwaan uji pandu kereta di Juru Autocity semalam.
Ia susulan beberapa gambar dan video tular memaparkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dipercayai berada di pusat pameran dan jualan di Autocity, Juru, di sini untuk memandu uji kenderaan pacuan empat roda, semalam.
Tindakan itu mendatangkan kecaman netizen dengan menyifatkan tindakan pemimpin berkenaan tidak sepatutnya berlaku memandangkan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dilaksanakan kerajaan sejak 1 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis mengambil maklum perkara itu dan sedang menyiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung perkara ini.
“Dalam hal ini, polis akan memanggil semua dipercayai terbabit dalam perkara itu termasuk penjual kereta, Menteri Besar Kedah dan mereka yang berada di sana untuk membantu siasatan,” katanya di sini, hari ini.
Setiausaha Politik MB Kedah Beri Penjelasan
Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata dakwaan itu merupakan satu fitnah kerana Muhammad Sanusi hanya berhenti sebentar untuk membeli makanan berdekatan pusat jualan dan pameran Jenama Ford di kawasan itu sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan yang penting.
Beliau berkata, Menteri Besar Kedah juga ketika perjalanan bersama seorang pemandu dan tiga anggota polis pengiring dan mengesahkan pusat pameran itu juga ditutup disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Ada seorang penjual kereta sedang menyusun Ford Ranger di luar pusat pameran itu. Menteri Besar hanya pergi melihat kereta itu bukan nak beli kerana hanya berminat. Kalau tengok hendap-hendap nanti orang pelik pula.
” Walaupun pusat pameran ditutup, penjual itu bersopan, layan orang yang datang sambil-sambil tengah mengalih kereta-kereta tu. Dia tahu waktu ini tak boleh berniaga. Prosedur operasi standard (SOP) PKP. Orang berniaga, macam itulah.
“Lepas siap beli makanan, Menteri Besar sambung perjalanan ke Kuala Lumpur. Ford Ranger itu ada dekat Juru tu. Tak ikut sekali dan saya mengesahkan tiada ‘test drive’ berlaku,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Tambahnya, beliau yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda Pas memaklumkan pergerakan Menteri Besar yang merentas daerah atau rentas negeri adalah dibenarkan di dalam SOP PKP yang ditetapkan.
“Ini kerana perjalanan Menteri Besar termasuk di dalam perkhidmatan perlu (essential service) yang dibenarkan Pergerakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ,” katanya.
*Sumber: Harian Metro, Facebook Afnan Hamimi